Tuesday, July 19, 2011

[P43] Teori Etika

Assalamualaikum.


Etika merupakan teori yang berkaitan dengan tindakan, hujah dan tujuan yang mengarah kepada makna sesuatu tindakan. Etika adalah bukan yang bersangkutan dengan fakta atau fizikal manusia tetapi merupakan suatu falsafah moral yang mengambilkira tindakan atau tingkahlaku manusia. Etika juga merupakan satu disiplin ilmu yang mengkaji tentang moral, prinsip moral, kaedah moral dan tindakan serta kelakuan manusia yang betul.


(1) Teori Teleologikal

Teori ini mengatakan bahawa nilai “betul” atau “salah” bergantung kepada kesan sesuatu perbuatan. Keputusan yang terakhir bergantung kepada jumlah badingan perkara-perkara baik atau betul yang dilakukan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, iaitu perbandingan antara baik dan buruk, betul dan salah. Ini bererti sesuatu tindakan atau perbuatan perlu dilakukan sekiranya ia membawa lebih banyak atau bertujuan membawa lebih banyak kebaikan daripada keburukan mengikut peraturan yang berkenaan. Teori teleologikal amat mementingkan hasil akibat sesuatu tindakan. Teori teleologikal boleh dilihat daripada dua perspektif, iaitu utilitarianisme dan egoisme.


a. Teori Utilitarianisme

Teori Utilitarianisme adalah berkaitan dengan tindakan seseorang yang berasaskan tujuan memaksimumkan kebahagiaan atau keseronokan majoriti.

 Individu patut melakukan sesuatu tindakan yang menghasilkan kebaikan maksimum kepada setiap orang atau membawa kebahagiaan maksimum kepada majoriti
 Sesuatu perlakuan itu dianggap baik atau benar mengikut kadar atau pertimbangan kebahagiaan yang diharapkan dapat diperoleh


Contoh:

Peperangan dan cara peperangan dianggap wajar jika ia menghasilkan kebahagiaan dan kebaikan melebihi kesengsaraan dan penderitaan yang dialami dalam situasi tertentu dibenarkan melakukan perkara tidak baik demi mengelakkan berlakunya perkara yang lebih buruk.


b. Teori Egoisme

Teori egoisme adalah satu teori yang menyatakan bahawa sesuatu tindakan itu adalah “betul” jika ianya membawa kebaikan kepada diri sendiri dan sesuatu itu “buruk” jika ia membawa keburukan kepada diri sendiri.



(2) Teori Deontologi

Teori ini menolak apa yang diperakui oleh teori teleologikal. Menurut teori ini, akibat/kesan sesuatu perlakuan adalah tidak dititikberatkan. Apa yang lebih penting ialah sifat perlakuan atau ciri-ciri peraturan itu. Sesuatu perlakuan sama baik atau buruk, benar atau salah adalah berdasarkan prinsip moral dan kewajipan moral yangbernilai intrinsik. Oleh itu, kita perlu memahami kewajipan dan peraturan moral yang sedia ada sebelum kita mula memilih sesuatu tindakan moral yang betul. Perlakuan kita dianggap bermoral jika mengikut kewajipan dan sebaliknya. Teori Deontologi boleh dibahagikan kepada dua prinsip utama, iaitu Prinsip Kewajipan dan Prinsip Eksistensialisme.


a. Prinsip Kewajipan

Prinsip Kewajipan dikemukan oleh Immanuel Kant (1724-1804) yang menegaskan pelaksanaan tanggungjawab semata-mata kerana pelaksanaan itu merupakan satu tanggungjawab. Tanggungjawab merupakan satu nilai utama menentukan sama ada tindakan itu bermoral atau tidak. Ramai ahli kemoralan merumuskan tanggungjawab kemoralan berdasarkan keagamaan, tetapi terdapat tanggungjawab yang tidak berubah mengikut agama atau adat resam, misalnya tidak membunuh, tidak berzina atau tidak menipu dalam apa jua keadaan merupakan peraturan universal. Menurut Kant, sesuatu
tindakan yang betul perlu selari dengan kemoralan universal. Maka, kita tidak perlu membuat pertimbangan tentang kesan tindakan (Teori Teleologikal) sebelum kita membuat keputusan.


b. Prinsip Eksistensialisme

Prinsip Eksistensialisme menegaskan bahawa nilai baik buruk mesti berasaskan pilihan individu secara bebas. Menurut Sartre (1905-1980) seorang ahli falsafah Perancis berpendapat bahawa peraturan dan prinsip kemoralan adalah terlalu abstrak, subjektif dan berubah-ubah. Beliau juga menyatakan bahawa tidak ada satu set peraturan yang boleh digunakan oleh manusia untuk menentukan tindakan bermoral. Oleh itu, relativisme individu dianggap sebagai mutlak. Tindakan baik atau buruk adalah berasaskan kepada pilihan individu secara bebas. Individu akan bebas bertindak dan dialah yang bertanggungjawab terhadap tindakannya sendiri. Sebagai contoh, peperangan dan konflik antara ras adalah tanggungjawab manusia yang menimbulkan masalah-masalah tersebut. Maka, manusia yang juga menyelesaikan masalah tersebut. Ini adalah kerana manusia perlu bertanggungjawab terhadap pertimbangan dan tingkah
laku moralnya sendiri.



(3)  Teori Kemoralan Sosial

Teori Kemoralan Sosial cenderung mengaitkan peraturan masyarakat dengan konsep etika. Ia merujuk kepada standard atau ukuran moral yang merangkumi nilai-nilai yang mementingkan masyarakat. Individu bukan sebagai matlamat kemoralan. Nilai atau peraturan ini adalah ukuran dan persetujuan masyarakat . Oleh itu individu bertanggungjawab untuk mematuhi standard moral ini demi menjaga kerukunan sosial yang sedia ada. Sebagai contoh, Umat Hindu dikehendaki mengamalkan apa yang diperintahkan dan menjauhi apa yang dilarang menerusi dharma dan ahimsa. (Rujuk Buku Abdul Rahman Md. Aroff)



(4)  Teori Keperibadian Mulia (Virtue)

Menurut teori keperibadian mulia, etika adalah berkaitan dengan keperibadian, sifat perangai dan ciri watak yang mulia. Teori ini mula-mula sekali dikemukakan oleh Aristotle. Menurut beliau bahawa keperibadaian yang mulia ini boleh dimiliki dan diperoleh oleh individu melalui latihan dan mengamalkannya selalu sehingga menjadi satu tabiat atau kebiasaan yang menyeronokkan dan menyenangkan. Teori ini menyatakan bahawa setiap keperibadian yang mulia merupakan “jalan tengah”, iaitu sesuatu nilai yang diamalkan itu adalah tidak berlebihan dan tidak juga terlalu kurang. Contohnya, seseorang yang mengamalkan nilai berani hendaklah mengelakkan diri daripada perkara yang terlalu merbahaya tetapi bukan semua bahaya. Teori ini menekankan cara-cara ideal untuk individu menjadi seorang insan yang mulia.

Admin JPIM

0 comments:

 
Powered by Blogger