Monday, July 11, 2011

[P38] Konsep Asas Moral

Assalamualaikum.

Konsep Moral

Moral berasal dari bahasa Latin moralitas yang bererti cara, perwatakan dan tingkah laku yang diterima. Konsep moral membawa pengertian kesedaran tentang ajaran atau pegangan berkenaan dengan baik buruk sesuatu perbuatan, sikap atau cara berkelakuan yang sejajar dengan tatasusila dan peratuaran masyarakat. Oleh itu, konsep moral ini merujuk kepada kawalan tingkah laku yang berlandaskan standard-standard yang dihayati serta diamalkan oleh seseorang individu. Seseorang yang dikatakan memiliki tingkah laku yang bermoral jika tingkah laku tersebut berdasarkan prinsip-prinsip atau peraturan-peraturan yang diterima.


Konsep Etika



Perkataan etika dari bahasa Latin ethica merupakan salah satu cabang utama falsafah yang merangkumi kelakuan betul dan kehidupan baik. Etika juga merujuk kepada maksud kebiasaan atau cara. Oleh itu etika boleh ditakrifkan sebagai suatu kajian sains tentang kelakuan manusia dalam masyarakat yang juga merupakan satu set peraturan tingkah laku atau undang-undang yang digubal bersama oleh ahli masyarakat tersebut. Tujuan kod-kod etika yang digubal bersama ini adalah bertujuan sebagai garis panduan kepada tingkah laku sesuatu kumpulan untuk mengawal, menjamin dan melindungi tingkah laku yang bermoral dalam kumpulan tersebut, misalnya etika keguruan, etika guaman dan sebagainya.


Konsep Akhlak



Akhlak berasal dari kata "akhlaq" yang merupakan jama' dari "khulqu" dalam bahasa Arab. Ertinya ialah perangai, budi, tabiat dan adab. Perkataan akhlak secara terminologi bererti tingkah laku seseorang yang didorong oleh suatu keinginan secara sedar untuk melakukan suatu perbuatan yang baik. Perkataan akhlak juga membawa maksud budi pekerti seseorang individu. Budi pekerti di sini merujuk kepada kelakuan atau gerak geri seseorang. Akhlak merupakan sifat semula jadi yang dimiliki individu dan juga sifat yang dimilikinya menerusi latihan dan rangsangan, iaitu batin dan zahir dalam bentuk perlakuan.

Admin JPIM

0 comments:

 
Powered by Blogger