Assalamualaikum.
Moral, Etika dan Akhlak Dari Perspektif Agama dan Kepercayaan
Dorothy Emmet (1966) menyatakan bahawa nilai moral bukan sesuatu yang wujud tersendiri dan terperinci dalam satu kekosongan. Pada tahun 1979, beliau mengatakan bahawa manusia bergantung atas beberapa peraturan, adat, kebiasaan masyarakat dan agama yang menolong mereka dengan lebih mudah membuat jangkaan tentang cara tingkah laku orang lain. James Hemming(1980) menyatakan bahawa peraturanperaturan masyarakat mestilah dilihat sebagai fakta-fakta kehidupan sosial, sebagai prinsip-prinsip yang perlu dalam pergaulan dan kelakuan terhadap orang lain dan perhubungan antara manusia. (Koo, K.P. & Tang C.Y, 1990)
Peraturan Moral
Pengertian Peraturan Moral
- Peraturan moral ialah satu hasil kajian tentang betul salah tingkah laku manusia.
- Peraturan moral menyediakan undang-undang yang sistematik tentang tanggapan-tanggapan / matlamat-matlamat yang unggul.
- Peraturan moral bersifat rasional dan autonomous kerana manusia sentiasa berminat dalam tingkah laku sendiri, berfikir dan bersoal jawab tentang tingkah laku-tingkah laku, membandingkan tingkah laku manusia dan cuba mencari prinsip-prinsip dan rasional atas tingkah lakunya sendiri.
Antara ciri-ciri Peraturan Moral
- Boleh diubah-ubah.
- Dicipta oleh manusia.
- Tiada pengasas, seseorang bermoral haruslah menghormati orang lain.
Prinsip-prinsip Peraturan Moral
Apakah faktor utama yang mempengaruhi tindakan anda? Terdapat tiga jenis prinsip peraturan moral yang dikemukakan. Cuba anda buat refleksi selepas membaca penerangan di bawah. Prinsip manakah yang banyak mempengaruhi tindakan anda?
· Prinsip Autonomi
Prinsip ini meliputi pertimbangan bebas. Pertimbangan dan tingkah laku yang dibuat oleh seseorang akibat paksaan dari luar tidak boleh dikategorikan sebagai moral. Contoh : Nazri memilih tidak merokok kerana dia sedar bahawa merokok membahayakan kesihatan. Dia tidak merokok bukan kerana dia takut
dimarah ibubapa/guru tetapi kerana kesedaran dalaman yang tinggi dan tidak mudah dipengaruhi oleh sesiapapun.
· Prinsip Keadilan
Keadilan melibatkan menghormati hak orang lain dan kesaksamaan. Oleh itu keadilan tidak akan membenarkan individu menyalahgunakan kebebasannya untuk individu yang bersifat tamak dan mementingkan diri sendiri. Contoh : Di sekolah A, Guru Besar sentiasa menyuruh guru X membuat
kerja-kerja pentadbiran sekolah. Akibatnya guru X tidak ada masa langsung untuk dirinya dan keluarganya sedangkan terdapat ramai guru di sekolah A yang tidak mempunyai banyak kerja . Perkara tersebut membuktikan salah guna kuasa oleh guru besar sehingga membawa kesan negatif kepada kehidupan guru tersebut.
· Prinsip Altruisme
Belas kasihan, simpati, menghargai dan mengambil berat tentang kebajikan orang lain. Altruisme juga akan menjauhkan individu daripada sifat mementingkan diri sendiri. Contoh 1: Seluruh dunia tanpa mengira bangsa telah bersatu padu menyumbangkan tenaga dalam bentuk tenaga dan wang ringgit untuk
membantu mangsa Tsunami di Aceh, India, Bangkok dan lain-lain. Mereka menderma untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh mangsa yang hidup dan anak-anak yatim yang kehilangan ibubapa. Contoh 2 : Seorang gadis berusia 19 tahun telah menderma RM60,000.00 kepada Persatuan Perubatan Malaysia (Mercy) untuk membantu mangsa pencerobohan Amerika Syarikat ( AS ) di Iraq. Wang tersebut diperolehi melalui kemenangannya dalam peraduan meneka lagu. Beliau ialah Khatijah Khalilul Rahman. Khatijah memang unik, seumur hidupnya belum tentu beliau akan menerima wang yang sebegitu banyak. Satu sen pun tidak diambilnya. Tanpa apa-apa tujuan mencari nama atau mempromosi syarikat atau pertubuhan, gadis remaja itu mengamalkan sikap alturisme yang begitu tinggi nilainya. Khatijah, semoga Allah merahmati hidupmu! Semoga anda sentiasa menjadi contoh insan yang sentiasa menjunjung amalan murni dan kemanusiaan.
Peraturan Adat
Pengertian Peraturan Adat
Perkataan ‘adat’ adalah suatu istilah yang berasal dari bahasa Arab yang bererti ‘kebiasaan ’ dalam mengharungi kehidupan manusia.
Himpunan definisi adat:
- Dr. R. Van Dijk: Semua kesusilaan dan kebiasaan dalam semualapangan hidup, juga semua peraturan tingkah laku.
- Syed Alwi: Peraturan-peraturan hidup yang dipusakai daripada datuknenek kita dan yang diperturunkan daripada bapa kepada anak atau daripada yang tua kepada yang muda dengan kaedah ditunjuk, diajar ditegur dan disapa dan tidak dengan cara yang bertulis. (Koo dan Tang, 1990)
Ciri-Ciri Peraturan Adat
- Cara hidup manusia yang mementingkan sifat-sifat tingkah laku yang murni serta baik.
- Dicipta oleh manusia dan disampaikan secara lisan seperti nasihat, teguran dan teladan dari satu generasi kepada generasi yang lain.
- Penafsiran peraturan adat berbeza mengikut kaum, masa dan lokasi.
Peraturan Agama
Pengertian Peraturan Agama
Menurut Alan Harris, agama mempunyai peraturan-peraturan tertentu. Peraturan-peraturan ini berlainan mengikut ajaran agama masing-masing (Koo dan Tang, 1990). Peraturan agama merangkumi semua aspek kehidupan manusia. Peraturan ini termaktub dalam kitab agama. Peraturan ini menetapkan panduan tingkah laku dan menyatakan balasan jika peraturan itu dilanggar. Justeru, peraturan boleh mendorong penganutnya mematuhi tuntutan agama.
Ciri-Ciri Peraturan Agama
- Tidak boleh diubah-ubah
- Bukan ciptaan manusia
- Setiap penganutnya mestilah mematuhi peraturan yang terdapat di dalam agama masing-masing
- Peraturan agama adalah satu cara hubungan antara manusia dengan Tuhan
- Peraturan agama juga merangkumi cara hubungan antara manusia dengan manusia.
Peraturan Undang-Undang
Pengertian Peraturan Undang-Undang
Himpunan definisi peraturan undang-undang:
- Mengikut Weber, norma, nilai dan peraturan sesebuah masyarakat yang boleh membentuk tingkah laku dengan watak seseorang itu lahir daripada kepatuhan individu terhadap autoriti yang sah. (Koo dan Tang, 1990).
- Austrinm, seorang ahli fikir Inggeris menyifatkan peraturan undangundang sebagai satu perintah yang diberikan oleh pihak pemerintah kepada rakyat dan sekiranya perintah itu tidak ditaati, pihak pemerintah akan menggunakan kekerasan supaya undang-undang dipatuhi. (Koo dan Tang, 1990)
Ciri-Ciri Peraturan Undang-Undang
- Peraturan-peraturan masyarakat yang telah diluluskan oleh autoriti.
- Alat kawalan dan bahan rujukan bagi suatu kesalahan.
- Perlu dipatuhi oleh setiap individu. Individu yang membuat kesalahan boleh didenda wang atau dipenjarakan.
- Kejahilan terhadap suatu peraturan undang-undang tidak boleh menjadi alasan bagi membela diri dari tuduhan atau dakwaan.
- Perasaan kasih sayang, belas kasihan, tolak ansur dan baik hati tidak wujud.
- Tidak ada unsur pilih kasih dan faktor-faktor kronisme dalam pelaksanaan undang-undang.
Admin JPIM
0 comments:
Post a Comment