Tuesday, July 12, 2011

[P40] Jenis-jenis Pemikiran Moral

Assalamualaikum.


Naturalis

Naturalisme ialah aliran pemikiran yang menggambarkan sesuatu itu dalam keadaannya yang sebenar. Kecenderungan individu untuk menerima sahaja keadaan yang sebenarnya dapat dikatakan berfikiran naturalis.

Antaranya contoh yang menggambarkan seseorang individu atau masyarakat yang berfikiran sedemikian ialah:

· Seorang pelajar Tingkatan Lima mengeluh apabila melihat slip keputusan peperiksaan percubaan setara yang keseluruhannya teruk. Pelajar tersebut mengeluh dan menerima keputusan itu dengan mengatakan memang dia bodoh, belajar macam mana pun begitu juga prestasinya.
· Masih ada masyarakat yang percaya dengan maksud peribahasa rezeki secupak takkan jadi segantang. Lantaran itu mereka terus menerus miskin walau pun negara telah merdeka 47 tahun yang lalu.
· Pulau Langkawi sebelum ini tidak membangun kerana kebanyakan penduduknya percaya bahawa pulau itu terkena Sumpahan Mahsuri iaitu tujuh keturunan menjadi padang jarak padang tekukur. Dengan kata lain mereka menerima sumpahan Mahsuri hingga menyebabkan kurang daya usaha untuk membangunkan pulau tersebut sebelum tujuh keturunan berakhir.



Emotivis

Aliran pemikiran ini merujuk sikap manusia yang bertindak mengikut perasaan atau emosi. Perasaan ini dilahirkan melalui air muka, kata-kata, tingkah laku sama ada perasaan gembira mahupun sedih.

Antara contoh yang menggambarkan seseorang individu atau masyarakat yang
berfikiran sedemikian ialah:

· Seorang perompak telah menembak mati seorang wanita berusia 30an di tempat letak kereta Gedung Membeli Belah Giant kerana wanita tersebut enggan menyerah keretanya kepada perompak tersebut.
· Melihat kecurangan isteri di depan mata menyebabkan suami tanpa berfikir panjang lalu menceraikannya, menyiksa atau membunuhnya.
· Murid Tingkatan Empat menumbuk guru kelas yang menyindir keturunan murid tersebut
· Bersikap seperti marahkan pijat kelambu dibakar
· Bunuh diri kerana kecewa dalam percintaan
· Menghalau anak dari rumah kerana anak itu telah menconteng arang di muka keluarga.
· Sekumpulan lelaki merogol seorang gadis kerana abang gadis itu membunuh salah seorang daripada saudara kumpulan lelaki tersebut.


Intuisionis

Aliran pemikiran ini merujuk satu proses ‘melihat’ dan ‘memahami’ secara spontan. Aliran ini ada kaitannya dengan bisikan hati. Orang tua yang bijak telah mengalami 1001 pengalaman hidup oleh itu apabila mereka menghadapi sesuatu masalah atau isu, mereka dapat membaca apa yang tersirat daripada yang tersurat. Bak kata pepatah Melayu ‘terkilat ikan di air sudah tahu jantan betina’. Gerak hati mereka ketika menilai bakal menantu pada kali pertama berdasarkan timbunan pengalaman lalu serta kematangan fikiran lantaran faktor usia.

Dengan kata lain pemikiran intuisionis ialah sejenis pengetahuan yang lebih tinggi dan berbeza daripada yang diperoleh secara individu. Aliran pemikiran ini juga boleh dikaitkan dengan pemikiran spontan celik akal. Kemunculan idea yang meledak secara tiba-tiba dalam memberikan tafsiran terhadap sesuatu perkara boleh dikaitkan dengan aliran pemikiran ini. Maka berkatalah Munsyi Abdullah, intelek Melayu dalam bahasa indahnya, ‘lagi kutebas pohon di hutan, baru kutahu luasnya bentara’.

Kesimpulannya, orang yang terlebih dahulu makan garam, maka teballah intuisionisnya berbanding dengan gadis remaja yang mudah ditipu oleh lelaki ‘don juan’ atau ‘kasanova’ lantaran pengalaman hidupnya yang masih hijau; sebab itulah mereka mudah diperkotak-katik dengan janji-janji manis lelaki hidung belang.


Rasionalis

Rasionalis berasal daripada perkataan ‘ratio’ yang bermakna ‘reason’ atau sebab. Segala tingkah laku moral seperti menghormati orang tua, menyayangi alam sekitar dan semangat patriotik perlukan asas pemikiran rasional yang waras dan logik.

Beza antara manusia dan binatang ialah akal. Manusia yang waras akan menggunakan akal fikirannya untuk penaakulan, membuat keputusan dengan bijak, menyelesaikan masalah, merekacipta sesuatu yang boleh dimanfaatkan manusia sejagat. Kes-kes bunuh diri, menggunakan keganasan untuk mendapat sesuatu, bukanlah berpunca daripada pemikiran rasional.

Walau bagaimanapun bukan semua perkara boleh ditaakulkan. Perkara-perkara yang berhubung dengan ketuhanan adalah sesuatu yang abstrak dan tidak boleh dihujah dengan logik akal biar pun 1000 orang cerdik pandai berhimpun untuk mencari logiknya. Contohnya perkara tentang Hari Kiamat, kewujudan Tuhan, Hari Pembalasan dan sebagainya.

Admin JPIM

0 comments:

 
Powered by Blogger