Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.
12
Rabiul Awal setiap tahun adalah hari sambutan Maulidur Rasul yang menjadi salah
satu hari kebesaran Islam yang disambut meriah di negara ini. Walaupun Nabi
Muhammad SAW telah meninggalkan kita, namun kekasih Allah ini tetap berada di
dalam sanubari dan hati umatnya yang beriman. Baginda SAW telah membawa kepada kita risalah Allah dengan
dua cara.
Pertama, menyampaikan perintah
dan panduan Allah SWT melalui wahyu Qur’ani; Kedua, menghidupkan wahyu-wahyu
Allah dengan sempurna melalui perbuatan, perkataan dan pengakuannya atau apa
yang dinamakan sebagai sunnah nabawiyah.
Kemuliaan
akhlak Rasulullah SAW sebagaimana yang dicerminkan di dalam al-Quran, wajib diambil
tauladan secara mutlak dan di taati oleh manusia sepanjang kehidupan ini.
Firman Allah SWT di dalam Surah at-Taghaabun, ayat 12:
Maksudnya: “Dan taatlah
kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling,
maka sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah Allah)
dengan jelas nyata.”
Antara agenda yang diberi keutamaan dalam misi
Rasulullah SAW menyebarkan Islam ialah dengan memperkasakan akidah ummah. Umat
Islam diikat dengan erat melalui konsep tauhid, kiblat yang satu, kitab yang
satu, pemimpin yang satu. Namun dalam pada itu, Baginda juga sentiasa diterjah
dengan berbagai ancaman musuh Islam yang didalangi oleh orang-orang Yahudi
untuk mengkucar-kacirkan pegangan dan fahaman umat Islam. Mereka menggunakan
pelbagai pendekatan, diantaranya menggunakan isu agama sebagai alat untuk
menghancurkan umat Islam. Mereka menghasut sesetengah umat Islam yang lemah
imannya dan hilang integriti untuk melanggari ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Mereka juga memperalatkan
sebahagian daripada pemimpin yang beragama Islam yang dikaburi oleh keghairahan
untuk mendapatkan kuasa.
Oleh
itu, tidak menghairankan ada di kalangan umat Islam pada hari ini yang mengaku
beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, tetapi pada masa sama telah mentafsir Islam
mengikut hawa nafsu. Mereka sanggup melakukan tindak-tanduk mengikut kemahuan
sendiri dan akhirnya perbuatan tersebut kelihatan janggal, pelik di khalayak
ramai. Besarnya pengaruh nafsu dan peranan syaitan dalam kehidupan ini terbukti
apabila mereka tanpa segan silu mengutamakan kepentingan diri, mengutamakan
kebendaan walaupun nyata bercanggah dengan al-Quran dan sunnah.
Bersempena
dengan sambutan Maulidul Rasul, marilah sama sama kita menjana peningkatan dalam penghayatan dan ketaatan dalam
melaksanakan ajaran yang di bawa oleh Rasulullah SAW. Marilah sama sama kita mempertahankan dengan segala
upaya kemuliaan Rasulullah SAW dari sebarang penghinaan, memberikan
penghormatan sewajarnya kepada Rasulullah SAW dalam tindak tanduk kita seharian
dan mencontohi akhlak, keperibadian dan teladan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW dalam setiap tindakan.
Program
Maulidur Rasul ini pada dasarnya adalah sebahagian daripada aktiviti dakwah. Ia
bertujuan untuk mentarbiyah, membimbing dan memperingatkan umat Islam agar
menghargai apa yang dikurniakan oleh Allah SWT. Salah satu pengajaran itu ialah
memperingati perjuangan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang pesuruh Allah yang paling
berjaya menegakkan ajaran Allah, Rasul terakhir, tokoh teragong sepanjang abad di
dunia dan akhirat kerana membawa perubahan besar kepada lanskap akidah seluruh
juzuk hidup manusia di dunia. Malah hingga ke hari ini peribadi suci Rasulullah
SAW masih dikagumi musuh-musuh Islam. Marilah sama-sama kita
menjadikan sunnah Rasulullah SAW sebagai amalan hidup dan mengelakkan diri dari
perbuatan yang menyimpang dari sifat Rasulullah SAW yang sebenarnya.
(disunting
dari http://www.islam.gov.my/khutbah-online)
0 comments:
Post a Comment