Wednesday, September 12, 2012

[76] Kemerdekaan Malaysia ke 55: Janji Ditepati



Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Sesungguhnya, kemerdekaan atau kebebasan dari belenggu penjajahan dan cengkaman asing yang kita kecapi ini adalah satu nikmat kurniaan Allah SWT yang amat besar ertinya kepada kita semua.  Justeru, kita perlu mensyukuri nikmat kemerdekaan yang kita kecapi agar nikmat ini akan berkekalan dan kemakmuran negara akan sentiasa bertambah dengan pengisian-pengisian yang diredhai Allah.

Imam Al-Ghazali RA di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin menggariskan bahawa bagi mensyukuri nikmat Allah itu perlulah ada 3 perkara berikut, iaitu:

 Pertama: Hendaklah mengiktiraf bahawa nikmat tersebut datangnya daripada Allah SWT walaupun pada zahirnya ia datang melalui pelbagai sebab dan sumber.

Kedua: Hendaklah tidak mensia-siakan nikmat tersebut dengan mengabaikannya.

Ketiga: Hendaklah menggunakan nikmat tersebut dengan cara yang diredhai oleh Allah.

Bagaimanakah kemerdekaan dapat di kekalkan di negara ini? Kebijaksanaan pemerintah di dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang berteraskan maqasid al-Syariah demi kepentingan rakyat adalah teras kepada kemakmuran negara. Secara ringkasnya Maqasid al-Syariah ialah melakukan kebaikan bertujuan untuk menjaga tata susila, kepentingan dan sistem hidup.  Dengan kata lain mengurus sesuatu dan menjaganya dengan apa cara yang boleh membawa kepada kebaikan dan merupakan matlamat yang ingin di capai dalam melaksanakan sesuatu, memberikan petunjuk yang jelas berhubung kaedah berfikir dan bertindak umat Islam terutama dalam kes-kes berkaitan dengan kemaslahatan ummah, iaitu, yang menyentuh secara langsung dalam soal kebajikan, kebaikan, manfaat dan faedah umat Islam.

Seorang ulama terkenal Fathi Uthman mengatakan di dalam kitabnya al-Fikr al-Qanuni al-Islami bahawa Siasah al-Syariah merupakan hal berkaitan dengan undang-undang ketatanegaraan dan pentadbiran yang merangkumi soal-soal kekuasaan pemerintah, khalifah, hak-hak individu dan sebagainya. Manakala menurut Imam Ghazali di dalam kitabnya' al-Mustashfa' bahawa lima perkara pokok yang perlu dipelihara dalam maksud syariah itu sendiri;  agama,  diri,  akal,  keturunan dan harta.

Para ulama Islam telah menggariskan lima kepentingan yang wajib dijaga oleh pemerintah yang tiada tolak ansur untuk mengabaikannya agar umat Islam mampu bertahan menghadapi segala cabaran. Kepentingan tersebut mengikut keutamaan ialah:-

Pertama: Menjaga Agama, Sebagai pemerintah maka menjadi kewajipan untuk meletakkan kepentingan agama ditempat yang teratas. Segala perkara yang merosakkan agama hendaklah dihindarkan. Penyelewengan akidah wajib dibanteras. Pemimpin yang menjaga agama akan menjadi seorang yang adil dan berintegriti, tidak akan membenarkan sesuatu berlaku yang akan merosakkan akhlak dan moral. Mereka  yang tidak beragama akan lemah akhlaknya dan hilang semangat patriotik dan jati dirinya, dan tidak mustahil akan menggadaikan kepentingan negaranya demi memenuhi tuntutan hawa nafsunya. Namun perlu diingat di dalam kita menjaga agama pelbagai cabaran yang perlu di atasi antaranya aliran pemikiran pluralisme, liberalisme, LGBT dan lain-lain lagi.

Kedua: Menjaga nyawa,   Islam mengharamkan penumpahan darah dengan jalan yang tidak benar. Apabila nyawa tidak terpelihara maka negara akan musnah, ketenteraman dan keamanan akan hilang. Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud: Seseorang Islam itu ialah yang menyelamatkan kaum muslimin melalui lidah (bicara) dan tangannya (kuasa dan perlakuan), dan orang yang beriman pula ialah orang yang dipercayai oleh orang lain dalam menjamin nyawa dan harta benda mereka. (Riwayat al-Tirmizi)

Ketiga: Menjaga akal Akal wajib dipelihara dan dipupuk dengan nilai-nilai mulia dan ilmu. Semua unsur-unsur yang menjurus kepada kehilangan akal seperti arak, dadah wajib dibanteras dengan segera. Hanya generasi yang berakal yang mampu mempertahankan kemerdekaan negara.

Keempat: Menjaga maruah dan keturunan  Keturunan wajib dipelihara demi menjaga sistem sosial dalam masyarakat Islam. Apabila keturunan telah rosak dengan sebab menyalahi syariat dan tabie manusia seperti penzinaan, liwat, lesbian, gay, dwiseksual dan sebagainya maka struktur sosial akan menjadi kacau bilau dan akhirnya akan runtuh dengan sendirinya.  

Kelima: Menjaga harta, Dalam menjaga harta Islam telah mengariskan prinsipnya iaitu  al-adl wal ihsan. Pendekatan Islam amat menitik berat soal keadilan dengan mengharamkan segala bentuk penindasan, amalan riba, penipuan, rasuah, monopoli yang tidak seimbang, manipulasi pasaran dan segala bentuk penyelewengan atau perkara-perkara yang menzalimi dan merugikan pihak-pihak tertentu.

Bersempena dengan Sambutan Hari Kemerdekaan yang bertemakan JANJI DI TEPATI, adalah wajar bagi kita untuk mengenang kembali segala pengorbanan dan susah payah para pejuang negara yang telah berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil cetusan pemikiran dan semangat juang yang tinggi daripada tokoh-tokoh politik, para cendikiawan dan para alim ulama. Hasilnya, kita semua dapat hidup dengan aman dan makmur di bumi Malaysia yang bertuah ini. Sesungguhnya perjuangan mereka adalah perjuangan yang sangat mulia di sisi Allah SWT.

Dinukilkan dari http://www.islam.gov.my/khutbah-online

0 comments:

 
Powered by Blogger