Assalamualaikum.
Berikut ialah tulisan berkaitan nilai ‘murah hati’ oleh Ungki ak. Kingsoon, KPLI SR(Bimbingan) Januari 2010.
Murah hati dapat didifinisikan sikap yang sentiasa mengambil berat perasaan dan kebajikan orang lain. Disamping itu juga sikap murah hati ini boleh disebut apabila seseorang sedia memberi bantuan secara ikhlas kepada mereka yang memerlukan sama ada dalam bentuk kewangan, kebendaan atau sokongan moral.
Disamping itu juga murah hati adalah sikap dimana seseorang atau masyarakat itu dikatakan memberi, memberi waktu,tenaga,wang ringgit, kerelaan hati dan sebagainya.
Daripada perkataan Yunani, murah hati disebut dalam tiga maksud diantaranya ialah simpati iaitu bermaksud apabila seseorang itu bersedia untuk bersama orang lain yang sedang menanggung kesusahan atau penderitaan. Disamping itu juga murah hati dikatakan berempati bermaksud apabila seseorang itu bersedia untuk menempatkan diri pada keadaan atau situasi orang lain. Contohnya apabila seseorang itu kehilangan orang yang disayangi kita harus berempati dengan mendekati dan bercakap serta berkongsi kesedihan dengan mereka. Kalau boleh sama-sama menangis untuk menunjukkan empati kepada orang yang menanggung kesusahan. Murah hati juga dikatakan sebagai memaafkan iaitu kesediaan untuk menerima dan memaafkan tindakan orang lain yang menyakiti hati kita iaitu dengan tidak menyimpan rasa dendam.
Pada zaman yang semakin maju ini nilai-nilai kemurahan hati menjadi semakin pudar dan jarang diamalkan. Rasa simpati menjadi sesuatu yang jarang dirasai oleh generasi kini kerana ada sesetengah orang selalu berbual dan mengumpat orang lain yang sedang dan telah mengalami kesusahan tanpa rasa simpati untuk membantu dan memikir jalan yang patut untuk menyelesaikan masalah mereka.Rasa empati juga semakin susah ditemui kerana orang zaman sekarang dengan sesuka hati melontarkan kritikan, tuduhan, kata-kata yang menyakitkan, atau juga keburukan orang lain di depan umum, tanpa memikirkan bagaimana kalau mereka sendiri yang berada pada posisi atau keadaan orang itu.
Begitu juga memaafkan orang, berdendam sesama manusia, bom dibalas dengan bom, mata ganti mata dan gigi ganti gigi. Hal ini menyebabkan ramai orang yang terkorban adalah daripada mereka yang tidak berdosa. Kasih itu murah hati. Kita dipanggil untuk mengasihi. Ini bermakna kita dipanggil untuk menyemai nilai-nilai simpati, empati dan kemaafan kepada sesama manusia.
Dalam pendidikan , penerapan nilai murah hati berlaku secara bersahaja dan tidak langsung. Strategi penerapan nilai secara yang tidak langsung ini penting kerana nilai tidak boleh diajar secara formal seperti matapelajaran lain. Ini merupakan satu penghayatan dan pengusahaan secara beramal bukan sekadar peringatan atau penghafalan.
Langkah ini bertujuan untuk memastikan bahawa semua matapelajaran yang diajar tidak terpisah di antara satu sama lain, malah berkaitan dan bersifat bersepadu. Unsur-unsur utama yang akan digunakan untuk mewujudkan kesepaduan itu ialah unsur nilai.
Nilai murah hati yang dipilih untuk disisipkan kedalam pendidikan adalah nilai-nilai yang dapat menjadikan seseorang itu manusia yang dihormati dan boleh memainkan peranan yang aktif dalam menjamin keharmonian dalam masyarakatnya serta dapat menyumbang kearah pembangunan masyarakat.
Tanggungjawab untuk menyediakan generasi yang seimbang dan harmonis dari segi JERI bagi melaksanakan hasrat FPN bukanlah satu yang mudah. Penggubalan KBSR adalah harapan untuk melahirkan insan yang soleh dan berakhlak mulia.
Tugas guru dalam menerapkan nilai murni tidak semestinya bergantung 100% kepada kandungan kurikulum yang ditentukan tetapi perlulah juga berdasarkan inisiatif mereka sendiri. Guru sebagai "role model" perlulah menunjukkan dan memainkan peranan dalam menerapkan nilai murni baik dari segi perbuatan, perlakuan mahupun tutur katanya. Guru harus cekap dalam menyampaikan isi pelajaran disamping menerapkan nilai-nilai murni dalam penyampaiannya. Begitu juga dalam memilih kaedah dan waktu hendaklah bersesuaian.
Kesemua nilai murni merupakan asas atau jambatan kepada pelajar yang masih dibangku sekolah dalam membentuk perwatakan dan displin diri yang tinggi dan digubal berpandukan kepada konsep berteraskan penerimaan masyarakat umum. Ia menampakkan sifat yang bersepadu, menyeluruh dan seimbang iaitu kesepaduan di antara ilmu, iman dan amal; kesepaduan di antara akal, jasad dan roh; kesepaduan di antara teori dan amali, di antara kemahiran dan akhlak; di antara rupa dan jiwa; di antara pembangunan keduniaan dan akhirat; dan di antara manusia, alam dan Allah, yang mana kesemuanya bermatlamatkan pemikiran insan soleh . Insan yang baik akan membentuk keluarga yang baik, seterusnya masyarakat serta bangsa yang baik.
BIBLIOGRAFI
- Abu Bakar Nordin, 1991. Kurikulum , Perspektif dan Perlaksanaan. Pustaka Antara, Kuala Lumpur.
- Dr. Tajul Ariffin Nordin & Dr. Nor Aini Dan, 1992. Pendidikan dan Wawasan 2020. Arena Ilmu Sdn. Bhd, Kuala Lumpur.
- Dr. Hussien Hj. Ahmad, ______. Jurnal Pengurusan Pendidikan. Perihal Pendidikan dan Falsafah di Malaysia.
0 comments:
Post a Comment