Wednesday, September 2, 2015

[86] SEHATI SEJIWA




Sempena dengan kemerdekaan tanah air kita, bersama-samalah kita memerdekakan diri dari sebarang fahaman, pemikiran dan pengamalan yang tersasar daripada garis panduan Islam yang sebenar agar kita mendapat kemenangan hidup di dunia dan akhirat. Kedatangan Islam membawa sifat kemerdekaan, iaitu menyeru manusia supaya membebaskan diri daripada sebarang bentuk amalan dan kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam.

Dalam mendepani arus kemodenan dunia sekarang, kecanggihan teknologi maklumat dan media baru memainkan peranan yang amat penting kerana semua maklumat yang diterima hanya di hujung jari sahaja. Maklumat atau berita yang diperoleh itu ada kalanya benar atau pun palsu yang disebarkan secara berleluasa melalui aplikasi media sosial dengan begitu cepat kepada masyarakat. Namun secara pasti, limpahan maklumat yang diperoleh itu sudah tidak lagi mampu untuk ditapis dan dipastikan kebenarannya.


Masyarakat perlu berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan berita yang diterima. Umat Islam diseru supaya tabayyun iaitu menyiasat, meneliti dan dipastikan terlebih dahulu kebenaran fakta dan ketepatan maklumat bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti memfitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebencian sebagaimana Firman Allah dalam surah al Hujurat ayat 6 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Imam Ibn Kathir berkata: Allah memerintahkan agar kita benar-benar menyemak berita dari orang fasik dengan mewaspadainya supaya tidak berlaku sebarang pendustaan dan kekeliruan. Jangan mudah terpengaruh dengan berita yang tidak sahih yang disebarkan lebih-lebih lagi sebaran di alam maya. Maklumat yang tepat dapat menjadikan kita sebagai seorang yang mampu untuk menilai, berfikir dan paling utama adalah bertindak di atas asas kebenaran yang kukuh dan menepati kehendak umum. Perselisihan yang berlaku akibat daripada kekaburan maklumat atau berita yang diperoleh menjadikan seluruh masyarakat hidup dalam keadaan syak wasangka terhadap sesama sendiri. Jauhilah berprasangka buruk, kerana ianya boleh membawa kepada perpecahan. Dan ingatlah bahawa Fitnah itu lebih bahaya daripada pembunuhan. Hendaklah kita sentiasa ingat dan takutkan balasan Allah SWT yang sangat pedih di akhirat kelak akibat dari perbuatan dosa tersebut.

Kemerdekaan ialah suatu nikmat dan usaha untuk memulih dan mengekalkan perpaduan dan persefahaman yang bermaksud menjalin hubungan sesama manusia dengan tujuan saling memahami dan menghormati antara satu sama lain. Penciptaan manusia dengan kriteria dan watak yang berbeza dan terdiri daripada pelbagai bangsa dan keturunan sudah tentulah berbeza dari segi cara hidup, adat dan budaya serta amalan keagamaan.

Oleh itu, bagi memastikan kepelbagaian ini dapat dilangsungkan dengan murni dan bebas, maka kita perlulah saling memahami kehendak dan kewajipan masing-masing. Allah SWT memerintahkan kita untuk bersatu dan berpegang teguh dengan agama Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali-Imran ayat 103:
Maksudnya: Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan diantara hati kamu  (sehingga bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara.

Sikap kesederhanaan dan keseimbangan merupakan asas bagi mewujudkan persefahaman. Kesederhanaan merujuk kepada pelaksanaan sesuatu perkara itu secara berhikmah dan berimbang bagi mengelakkan berlaku kekerasan dan kezaliman ke atas hak asasi kaum dan agama, dan pada masa yang sama agama Islam dapat dimartabatkan.

Persefahaman adalah ruh kekuatan Islam kerana ia mewujudkan perasaan kasih sayang, persaudaraan, kedamaian dalam hubungan kekeluargaan dan masyarakat serta saling membantu antara satu sama lain. Ia juga merupakan nikmat yang dapat mengeratkan lagi hubungan sesama manusia dan dapat menghimpunkan perasaan serta semangat sehati sejiwa untuk sama-sama kita berganding bahu bagi memakmurkan sesebuah masyarakat dan negara. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dan demi nyawaku dalam genggaman-Nya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman sepenuhnya dan kamu tidak beriman sehingga kamu sayang-menyayangi antara kamu, apakah kamu suka aku tunjukkan sesuatu yang mana jika kamu membuatnya nescaya kamu akan berkasih-sayang, ia adalah memberi salam di kalangan kamu”. (Hadis Riwayat Muslim).

Kemerdekaan merupakan suatu nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT agar dapat disyukuri oleh setiap hamba-Nya yang inginkan kebebasan dan keamanan. Sambutlah  kemerdekaan negara dengan amalan-amalan yang sihat, tidak bercanggah dengan ajaran Islam, tidak menghina Islam apalagi sehingga mencemari kesucian Islam.

(Disunting dari sumber asal: http://www.islam.gov.my/khutbah-online [khutbah pada 28 OGOS 2015])

0 comments:

 
Powered by Blogger