Tuesday, January 22, 2013

[77] Maulidur Rasul 1434 H



Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.


12 Rabiul Awal setiap tahun adalah hari sambutan Maulidur Rasul yang menjadi salah satu hari kebesaran Islam yang disambut meriah di negara ini. Walaupun Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan kita, namun kekasih Allah ini tetap berada di dalam sanubari dan hati umatnya yang beriman. Baginda SAW  telah membawa kepada kita risalah Allah dengan dua cara.

Pertama, menyampaikan perintah dan panduan Allah SWT melalui wahyu Qur’ani; Kedua, menghidupkan wahyu-wahyu Allah dengan sempurna melalui perbuatan, perkataan dan pengakuannya atau apa yang dinamakan sebagai sunnah nabawiyah.

Kemuliaan akhlak Rasulullah SAW sebagaimana yang dicerminkan di dalam al-Quran, wajib diambil tauladan secara mutlak dan di taati oleh manusia sepanjang kehidupan ini. Firman Allah SWT di dalam Surah at-Taghaabun, ayat 12:
Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling, maka sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas nyata.”

Antara agenda yang diberi keutamaan dalam misi Rasulullah SAW menyebarkan Islam ialah dengan memperkasakan akidah ummah. Umat Islam diikat dengan erat melalui konsep tauhid, kiblat yang satu, kitab yang satu, pemimpin yang satu. Namun dalam pada itu, Baginda juga sentiasa diterjah dengan berbagai ancaman musuh Islam yang didalangi oleh orang-orang Yahudi untuk mengkucar-kacirkan pegangan dan fahaman umat Islam. Mereka menggunakan pelbagai pendekatan, diantaranya menggunakan isu agama sebagai alat untuk menghancurkan umat Islam. Mereka menghasut sesetengah umat Islam yang lemah imannya dan hilang integriti untuk melanggari ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Mereka juga memperalatkan sebahagian daripada pemimpin yang beragama Islam yang dikaburi oleh keghairahan untuk mendapatkan kuasa.

Oleh itu, tidak menghairankan ada di kalangan umat Islam pada hari ini yang mengaku beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, tetapi pada masa sama telah mentafsir Islam mengikut hawa nafsu. Mereka sanggup melakukan tindak-tanduk mengikut kemahuan sendiri dan akhirnya perbuatan tersebut kelihatan janggal, pelik di khalayak ramai. Besarnya pengaruh nafsu dan peranan syaitan dalam kehidupan ini terbukti apabila mereka tanpa segan silu mengutamakan kepentingan diri, mengutamakan kebendaan walaupun nyata bercanggah dengan al-Quran dan sunnah.

Bersempena dengan sambutan Maulidul Rasul, marilah sama sama kita menjana peningkatan dalam penghayatan dan ketaatan dalam melaksanakan ajaran yang di bawa oleh Rasulullah SAW. Marilah sama sama kita mempertahankan dengan segala upaya kemuliaan Rasulullah SAW dari sebarang penghinaan, memberikan penghormatan sewajarnya kepada Rasulullah SAW dalam tindak tanduk kita seharian dan mencontohi akhlak, keperibadian dan teladan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW  dalam setiap tindakan.

Program Maulidur Rasul ini pada dasarnya adalah sebahagian daripada aktiviti dakwah. Ia bertujuan untuk mentarbiyah, membimbing dan memperingatkan umat Islam agar menghargai apa yang dikurniakan oleh Allah SWT. Salah satu pengajaran itu ialah memperingati perjuangan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang pesuruh Allah yang paling berjaya menegakkan ajaran Allah, Rasul terakhir, tokoh teragong sepanjang abad di dunia dan akhirat kerana membawa perubahan besar kepada lanskap akidah seluruh juzuk hidup manusia di dunia. Malah hingga ke hari ini peribadi suci Rasulullah SAW masih dikagumi musuh-musuh Islam.  Marilah sama-sama kita menjadikan sunnah Rasulullah SAW sebagai amalan hidup dan mengelakkan diri dari perbuatan yang menyimpang dari sifat Rasulullah SAW yang sebenarnya.
(disunting dari http://www.islam.gov.my/khutbah-online)
 
Powered by Blogger