Salam Sejahtera.
SYUKUR Alhamdullilah, nasib Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) akhirnya terbela apabila 7,079 Guru GSTT ditawarkan kursus perguruan 2012 untuk diserapkan ke jawatan tetap.
Namun, di sebalik berita gembira ini, masih ada guru GSTT yang tidak berjaya biarpun telah berkali-kali mengemukakan rayuan ke pihak Bahagian Pengambilan Guru (BPG). Harap pihak kementerian membela nasib GSTT yang terkandas agar diberikan peluang yang sama rata.
Daripada kajian yang dibuat, terdapat GSTT layak, ada juga tidak cukup pengalaman, ada mempunyai pengalaman mengajar selama dua tahun, tetapi hanya setahun sebagai GSTT dan setahun lagi bertugas sebagai guru kontrak. Biarpun jawatan berbeza, namun tugas diamanahkan tetap sama seperti GSTT.
Namun kami boleh terima hakikat jika terdapat ketelusan dan keadilan dalam memilih GSTT yang berjaya mengikuti kursus perguruan kerana terdapat kalangan GSTT yang tidak cukup syarat tetapi berjaya.
Kami yang tidak berjaya ini tidak iri hati kepada GSTT yang berjaya, sebaliknya tumpang gembira. Namun tidak dinafikan yang kami benar-benar kecewa kerana peluang kami sudah tertutup sama sekali untuk bergelar guru tetap.
Saya berharap pihak kementerian akan mempertimbangkan kami GSTT yang tidak terpilih ini kerana pengalaman mengajar yang kami miliki dan minat yang amat mendalam dalam profesion perguruan. Saya memetik kembali kata-kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong bahawa GSTT yang tidak berjaya mendapat kursus perguruan akan dipanggil bertugas secara contract for service.
Kami GSTT yang tidak berjaya amat mengharapkan agar diberikan peluang meneruskan kerjaya sebagai GSTT secara contract for service untuk tahun ini, dan akan diberikan peluang mengikuti kursus perguruan pada tahun hadapan.
Utusan Malaysia Online: 28 Februari 2012
Admin JPIM
0 comments:
Post a Comment