Wednesday, May 4, 2011

[P26] Batasan Aurat Wanita Islam dengan Wanita Bukan Islam


Assalamualaikum.

Persoalan yang diajukan oleh pelajar/murid pendidikan guru berkaitan batasan aurat seorang wanita muslim terhadap wanita bukan muslim. Bagaimana cara yang ‘betul’ selari dengan kehendak syarak.

Ulama berselisih pendapat dalam pentafsiran surah anNur ayat 31, berkaitan aurat wanita Islam ketika berhadapan dengan wanita bukan Islam dalam 3 keadaan atau pendapat.

1.     Wajib menutup aurat sebagaimana berhadapan dengan lelaki ajnabi (yang boleh dinikahi), seperti keadaannya dalam solat.
2.     Diharuskan memperlihatkan bahagian yang biasa nampak dalam keadaan biasa seperti ketika berada dalam rumah (tanpa tudung dengan baju berlengan pendek dan kain atau seluar panjang).
3.     Sama hukumnya seperti antara sesama muslimah iaitu harus menampakkan seluruh anggota kecuali bahagian antara pusat hingga ke lutut.

Ada pendapat ulama yang  cenderung kepada pandangan yang dipertengahan, iaitu jika seorang muslimat berhadapan dengan wanita bukan Islam yang aman dari fitnah dan boleh dipercayai, maka harus berpakaian sebagaimana kebiasaannya di rumah, sebaliknya jika berhadapan dengan wanita bukan Islam yang boleh menimbulkan fitnah atau yang tidak dikenali latarbelakangnya, maka auratnya adalah seperti apabila berhadapan dengan lelaki yang boleh dinikahinya.

Negeri Kedah pernah mengeluarkan fatwa (yang tidak diwartakan dan tanpa tarikh http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/aurat-wanita-di-hadapan-wanita-bukan-islam-0) berkaitan permasalahan ini.

Terdapat dua pendapat berkaitan permasalahan ini : 

1) Harus bagi wanita bukan Islam melihat anggota wanita Islam yang terdedah pada kebiasaannya ketika menjalankan pekerjaan. Yang dikehendaki dengan anggota yang terdedah diwaktu menjalankan pekerjaan ialah kepala,tengkok/leher, lengan dan hujung betis.dan haram baginya melihat anggota-anggota yang lain dari yang tersebut.

2) Harus bagi wanita bukan Islam melihat aurat wanita kecuali anggota diantara pusat dan lutut memandangkan kepada mereka sama-sama wanita.

Pendapat pertama adalah muktamad, namun demikian memandangkan keadaan pergaulan wanita yang berlainan agama begitu meluas di sekolah-sekolah, di pusat-pusat pengajian tinggi,di asrama, di tempat bekerja dan lain-lain, maka pendapat kedua itu ada kesesuaian dengan keadaan.

Admin JPIM

0 comments:

 
Powered by Blogger