Friday, June 7, 2013

[81] Mukjizat Israk Mikraj Nabi SAW



Menurut sebahagian ulama, peristiwa Isra’ Mikraj ini berlaku pada malam 27 Rejab setahun sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Peristiwa ini adalah perjalanan suci Rasulullah SAW bagi memenuhi jemputan Allah SWT. Peristiwa Isra’-Mikraj ini juga sebenarnya membuka cerita kepada kita tentang hakikat alam semesta ini. Bagaimana kedudukannya, susunan langit-langit yang tujuh lapis/tingkat namun yang lebih penting dalam Isra’ Mikraj adalah petunjuk, pedoman dan panduan untuk kita umat di akhir zaman. Firman Allah SWT dalam surah al-Israk, ayat 1 yang bermaksud:
Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Bagaimana pun sebelum berlaku Isra’ Mikraj, Rasulullah SAW menjalani pembedahan dada yang dilakukan oleh Malaikat Jibril  untuk membersih hati daripada ketulan hitam bernama ’alaqah iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya dan dimasukkan hikmat, ilmu, dan iman. Selepas itu Allah SWT mengatur program kerohanian untuk Rasulullah SAW iaitu program Isra’ Mikraj mengadap Allah SWT dalam tempoh satu malam sahaja. Peristiwa ini menjadi bukti kekuasaan Allah SWT ke atas hamba-Nya dalam membina dan memantapkan pegangan akidah.

Perjalanan suci Rasulullah SAW ini melibatkan beberapa perkara luar biasa iaitu perjalanan dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis Palestin,  Rasulullah SAW menjadi imam solat kepada Rasul-rasul sedangkan mereka itu telah lama meninggal dunia, dan mengadap Allah SWT di Sidratul Muntaha untuk menerima perintah solat secara berhadapan terus dengan Allah SWT.

Perjalanan yang melibatkan dua masjid tertua di dunia dan paling suci dalam Islam menjadi petanda betapa hubungan akrab antara Masjidil Haram dengan Masjidil Aqsa berkaitan pertalian kiblat dan pusat gerakan Rasul-rasul terdahulu menegakkan syiar Islam. Kemudian Rasulullah SAW menjadi imam kepada beberapa Nabi dalam suasana alam kerohanian itu dan bersalaman satu sama lain menunjukkan bahawa para Nabi semuanya akur terhadap kedudukan Baginda sebagai Rasul terakhir yang menyempurnakan syariat agama Allah SWT. 

Pertemuan Rasulullah SAW dengan Allah SWT di Sidratul Muntaha dalam suasana alam kerohanian itu tanpa ditemani Malaikat Jibril, adalah pertemuan kemuncak sebagai penghargaan dan penghormatan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang menyempurnakan Islam sebagai agama global untuk manusia. Inilah bukti kekuasan dan kebesaran Allah SWT yang mampu melakukan apa sahaja yang diinginkan-Nya.

Salah satu pengajaran dalam peristiwa Isra’ Mikraj ialah persediaan teliti Rasulullah SAW dalam penyucian hati atau kalbu. Proses penyucian hati ini akan mengukuhkan kepercayaan kita bahawa dalam pertemuan dengan Allah SWT, seseorang dituntut membersihkan jiwa dan raganya daripada pelbagai sifat keji. Dengan jiwa yang bersih, penuh keimanan dan ketakwaan, maka akan beroleh kemudahan untuk berkomunikasi secara khusyuk dengan Allah SWT dan membawa hasil yang menguntungkan.

Kebersihan dan penyucian hati amat penting dalam membentuk keperibadian manusia. Pakaian yang bersih apabila kita pakai akan menjadi kotor. Semakin lama kita pakai, maka semakin kotor pakaian kita. Cuba bayangkan bagaimana rupa dan baunya jika pakaian itu tidak dibasuh. Demikian juga dengan tubuh badan kita. Semakin hari semakin kotor, berbau busuk dan terdedah kepada pelbagai penyakit jika kita tidak mandi dan membersihkannya dengan sempurna.

Begitu jugalah hati manusia. Setiap manusia tanpa mengira kedudukan pangkat dan keturunan ketika dilahirkan adalah dalam keadaan bersih. Bagaimana pun, manusia ini mempunyai sifat kelemahannya. Manusia menginginkan pangkat, kedudukan, kemuliaan, penghormatan, kekayaan dan kesenangan. Dalam keadaan sedar memenuhi keperluan hidup itu, maka manusia kadangkala atau yang berat lagi bertabiat pula melakukan dosa kecil atau besar. Dosa ini akan menjadi titik hitam dalam hati. Semakin banyak kesalahan maka semakin tebal titik hitam dalam hati seseorang. Kelemahan dan kegagalan manusia menyelenggara dan meningkatkan prestasi penyucian hati telah menjerumuskan individu atau keluarga dalam perbuatan yang bercanggah dengan hukum Allah SWT dan hak asasi manusia.

Antara tanda- tanda semakin tebal titik hitam dalam hati manusia ialah, Pertama: Malas melakukan ketaatan dan amal kebaikan. Kedua: Tidak tersentuh hatinya apabila mendengar ayat- ayat al-Quran. Ketiga: Tidak tersentuh dengan perkara yang terjadi seperti berlakunya peristiwa yang dapat memberikan pelajaran sebagai contoh kematian, sakit, bencana. Keempat: Berlebihan mencintai dunia serta melupakan akhirat. Kelima: Berkawan dengan orang yang melakukan maksiat. Keenam: Kemaksiatan yang berterusan. Ketujuh: Meremehkan dosa kecil. Dan kelapan: Tidak peduli sumber makanan.

Persoalan besar timbul ialah bagaimana cara kita membaiki, menyelenggara dan meningkatkan prestasi hati kita supaya ianya terus selari dengan akidah, akhlak dan syariat Islam?. Mimbar ingin menyatakan bahawa pada masa ini umat Islam terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran yang menguji kekuatan akidah umat Islam. Pelbagai fahaman, ideologi moden seperti kapitalisme, materialisme, fahaman liberalisme, pluralisme dan komunisme serta unsur-unsur negatif yang mempengaruhi umat Islam telah melanda dengan mudahnya. Kita juga digemparkan dengan isu murtad dan cubaan memurtadkan umat Islam. Kita dihimpit dengan budaya songsang seperti black metal, budaya punk, gejala gay dan seks bebas. Gejala ini berlaku disebabkan oleh beberapa perkara antaranya kepincangan keimanan dan kecemaran hati umat Islam yang di gelapkan oleh perbuatan mereka sendiri.

Ketahuilah hati kita adalah pusat kesedaran, pusat penggerak setiap gerak geri kaki tangan, mulut, mata, fikiran dan pancaindera kita. Alangkah indahnya pergaulan antara manusia dalam masyarakat apabila manusia yang hidup dalam masyarakat mempunyai hati yang putih bersih kerana dapat menjamin masyarakat hidup dengan aman damai.

Inilah masanya umat Islam mesti sedar dan meletakkan kepentingan Islam di dalam hatinya melebihi segala kepentingan yang lain. Pertahankanlah kesucian dan kedaulatan agama Islam sebaik yang mungkin dan bertindaklah berdasarkan kebijaksanaan dan keimanan. Janganlah disebabkan tindakan dan perbuatan kita yang hanya menurut emosi, kesucian agama Islam boleh tergadai dan tergugat.

Walaupun dalam keadaan sibuk mana sekalipun dengan urusan dunia, sediakanlah dalam masa-masa tertentu untuk menginsafi, bertaubat dan meminta ampun kepada Allah SWT. Sediakan waktu-waktu tertentu untuk mengingati Allah SWT, memuji dan membesarkan Allah SWT, mensucikan Allah SWT agar hati dan jiwa menjadi kembali bersih. Marilah kita melipatgandakan penyucian diri dan beribadahlah menyembah Allah SWT dengan penuh berkualiti dalam menunaikan solat, berzakat, menunaikan puasa, haji, melaksanakan ibadah sunat yang lain serta sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.

Sekiranya peristiwa dan kebenaran dalam Isra’ Mikraj ini ditauladani dan dipelajari serta dihayati sebaik mungkin, insyaallah kita mampu mengelakkan diri daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan dan kemungkaran serta terjerumus dengan gaya hidup berdosa. Sejarah ataupun peristiwa yang telah berlaku dimasa lalu mesti dijadikan cerminan dan panduan untuk masa hadapan. Hidup ini umpama kita memandu kenderaan, kita memerlukan cermin untuk kita melihat ke belakang sebagai panduan bagi kita untuk memandu ke hadapan. Inilah kepentingan sejarah dan peristiwa yang telah berlaku. Bayangkanlah, apakah akibatnya jika kita memandu kenderaan tanpa menggunakan cermin untuk melihat ke belakang?. Sudah pasti kita akan berhadapan dengan kemalangan mahupun tragedi yang buruk.

Maka, jadikanlah pengajaran di sebalik peristiwa yang telah berlaku terutamanya sejarah dalam negara kita mahupun sejarah Islam untuk meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Isra’ dan Mikraj  merupakan satu ujian dalam proses pemisahan antara orang yang benar-benar beriman atau mereka yang tipis imannya dan yang kufur ingkar terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya. Firman Allah SWT di dalam surah al-Ankabuut ayat 45 bermaksud:
Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Qur'an, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

[Dipetik dari khutbah Jumaat pada 7 JUN 2013 - http://www.islam.gov.my/khutbah-online]

Thursday, May 16, 2013

[80] SELAMAT HARI GURU


SELAMAT HARI GURU KEPADA SEMUA WARGA PENDIDIK/PELAJAR IPG KAMPUS RAJANG dari kami di JPIM IPGK Rajang.

SAJAK “GURU O GURU” – USMAN AWANG (1979)

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa. 

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979
[79]  Guru Pemangkin Perpaduan

Dua aspirasi jadi inspirasi ke arah sistem pendidikan bertaraf dunia

Seremban: Sempena sambutan Hari Guru hari ini, golongan pendidik diminta terus berfungsi sebagai pemangkin utama perpaduan kaum di negara ini menerusi aktiviti dalam dan luar kelas.

Guru juga perlu meneruskan usaha murni menyemai persefahaman dan mempromosikan pergaulan sihat dalam kalangan pelajar selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tahun lalu. 


Perkukuh perpaduan 

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, berkata tugas guru secara tidak langsung menjadi pemangkin utama ke arah pengukuhan perpaduan kaum kerana generasi muda yang dididik hari ini adalah pewaris negara pada masa depan.

“Kebetulan ketika ini timbul sedikit isu perkauman, jadi kita mengambil kesempatan ini untuk menekankan supaya guru berkongsi kefahaman mengenai PPPM.

“Apabila guru faham mengenai agenda yang membabitkan aspirasi sistem pendidikan dan aspirasi murid, mereka akan komited melaksanakannya.
“Hasilnya nanti, kita akan melahirkan murid yang cemerlang dalam semua aspek, termasuk akademik dan nilai murni dalam kehidupan, termasuk menerima perbezaan kaum,” katanya pada sidang media mengenai sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan yang akan disambut di sini, hari ini. 

Beliau berkata, agenda PPPM 2013-2025 menjadi asas tema sambutan tahun ini iaitu ‘Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda’.


Dua aspirasi

Katanya, Guru Malaysia merujuk kepada semua guru di negara ini termasuk guru sekolah swasta dan sekolah agama serta tidak terhad kepada guru di bawah Kementerian Pelajaran.

Katanya, dua aspirasi dimaksudkan, iaitu aspirasi ke arah menjadikan sistem pendidikan negara bertaraf dunia yang memastikan akses kepada semua murid, kualiti antarabangsa, ekuiti atau kesaksamaan untuk semua murid, memupuk perpaduan dan pelaksanaan kecekapan tinggi.

Aspirasi murid pula bermakna guru bertanggungjawab melahirkan murid yang berpengetahuan, mempunyai kemahiran berfikir, memimpin, kemahiran dwibahasa, kerohanian tinggi, beretika serta mempunyai identiti nasional.

Abd Ghafar berkata, 1Agenda pula bermakna semua guru berpegang pada satu agenda, iaitu memastikan kejayaan PPPM, sekali gus melahirkan murid seimbang berdasarkan Falsafah Pendidikan Negara.

Beliau berkata, pelbagai sambutan dirancang bagi sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan ke-42 tahun ini dengan acara kemuncak diadakan di Stadium Tertutup Nilai dekat sini, malam ini.

Lebih 2,200 guru dari seluruh negara dijangka menghadiri majlis berkenaan.

Katanya, pada sambutan kali ini, Kementerian Pelajaran akan memberi pengiktirafan kepada lima guru istimewa dinamakan anugerah Ikon Guru yang baru diperkenalkan tahun ini.

Katanya, anugerah itu akan diberi kepada lima guru yang berjaya menaikkan imej kementerian serta negara dalam pelbagai bidang termasuk sukan, kesenian, pelajaran, kokurikulum, kepemimpinan serta kesukarelawanan.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Gurupemangkinperpaduan/Article/
[78] Selamat Hari Guru

Salam Satu Malaysia,
Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) selaku Urus Setia Pemilihan Tema Hari Guru 2013 telah menerima persetujuan dan pengesahan dari Pejabat YAB Menteri Pelajaran berhubung Tema Hari Guru 2013. Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan tema yang telah dipersetujui oleh  YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran adalah:


GURU MALAYSIA: 1ASPIRASI, 1AGENDA


HURAIAN TEMA HARI GURU 2013
 GURU MALAYSIA : 1ASPIRASI, 1AGENDA
HURAIAN 1ASPIRASI:
Semua Guru Malaysia mempunyai satu aspirasi untuk membangunkan sistem pendidikan berkualiti bertaraf dunia seperti yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Adalah menjadi tanggungjawab semua guru ke arah melahirkan murid yang mempunyai enam aspirasi iaitu berpengetahuan,kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional.

1ASPIRASI juga diterjemahkan kepada cita-cita murni PPPM 2013-2025 iaitu ke arah sistem pendidikan negara yang memastikan akses kepada kejayaan, kualiti standard antarabangsa yang tinggi, ekuiti untuk semua murid, memupukperpaduan dalam kalangan murid dan pelaksanaan berkecekapan tinggi.
HURAIAN 1AGENDA:
Semua Guru Malaysia berpegang kepada satu agenda iaitu memastikan kejayaan PPPM 2013-2025.  Guru perlu berpegang teguh kepada etika profesion keguruan yang mempunyai satu agenda atau tugas utama iaitu melahirkan murid seimbang berdasarkan Falsasah Pendidikan Negara.

Tuesday, January 22, 2013

[77] Maulidur Rasul 1434 H



Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.


12 Rabiul Awal setiap tahun adalah hari sambutan Maulidur Rasul yang menjadi salah satu hari kebesaran Islam yang disambut meriah di negara ini. Walaupun Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan kita, namun kekasih Allah ini tetap berada di dalam sanubari dan hati umatnya yang beriman. Baginda SAW  telah membawa kepada kita risalah Allah dengan dua cara.

Pertama, menyampaikan perintah dan panduan Allah SWT melalui wahyu Qur’ani; Kedua, menghidupkan wahyu-wahyu Allah dengan sempurna melalui perbuatan, perkataan dan pengakuannya atau apa yang dinamakan sebagai sunnah nabawiyah.

Kemuliaan akhlak Rasulullah SAW sebagaimana yang dicerminkan di dalam al-Quran, wajib diambil tauladan secara mutlak dan di taati oleh manusia sepanjang kehidupan ini. Firman Allah SWT di dalam Surah at-Taghaabun, ayat 12:
Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling, maka sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas nyata.”

Antara agenda yang diberi keutamaan dalam misi Rasulullah SAW menyebarkan Islam ialah dengan memperkasakan akidah ummah. Umat Islam diikat dengan erat melalui konsep tauhid, kiblat yang satu, kitab yang satu, pemimpin yang satu. Namun dalam pada itu, Baginda juga sentiasa diterjah dengan berbagai ancaman musuh Islam yang didalangi oleh orang-orang Yahudi untuk mengkucar-kacirkan pegangan dan fahaman umat Islam. Mereka menggunakan pelbagai pendekatan, diantaranya menggunakan isu agama sebagai alat untuk menghancurkan umat Islam. Mereka menghasut sesetengah umat Islam yang lemah imannya dan hilang integriti untuk melanggari ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Mereka juga memperalatkan sebahagian daripada pemimpin yang beragama Islam yang dikaburi oleh keghairahan untuk mendapatkan kuasa.

Oleh itu, tidak menghairankan ada di kalangan umat Islam pada hari ini yang mengaku beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, tetapi pada masa sama telah mentafsir Islam mengikut hawa nafsu. Mereka sanggup melakukan tindak-tanduk mengikut kemahuan sendiri dan akhirnya perbuatan tersebut kelihatan janggal, pelik di khalayak ramai. Besarnya pengaruh nafsu dan peranan syaitan dalam kehidupan ini terbukti apabila mereka tanpa segan silu mengutamakan kepentingan diri, mengutamakan kebendaan walaupun nyata bercanggah dengan al-Quran dan sunnah.

Bersempena dengan sambutan Maulidul Rasul, marilah sama sama kita menjana peningkatan dalam penghayatan dan ketaatan dalam melaksanakan ajaran yang di bawa oleh Rasulullah SAW. Marilah sama sama kita mempertahankan dengan segala upaya kemuliaan Rasulullah SAW dari sebarang penghinaan, memberikan penghormatan sewajarnya kepada Rasulullah SAW dalam tindak tanduk kita seharian dan mencontohi akhlak, keperibadian dan teladan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW  dalam setiap tindakan.

Program Maulidur Rasul ini pada dasarnya adalah sebahagian daripada aktiviti dakwah. Ia bertujuan untuk mentarbiyah, membimbing dan memperingatkan umat Islam agar menghargai apa yang dikurniakan oleh Allah SWT. Salah satu pengajaran itu ialah memperingati perjuangan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang pesuruh Allah yang paling berjaya menegakkan ajaran Allah, Rasul terakhir, tokoh teragong sepanjang abad di dunia dan akhirat kerana membawa perubahan besar kepada lanskap akidah seluruh juzuk hidup manusia di dunia. Malah hingga ke hari ini peribadi suci Rasulullah SAW masih dikagumi musuh-musuh Islam.  Marilah sama-sama kita menjadikan sunnah Rasulullah SAW sebagai amalan hidup dan mengelakkan diri dari perbuatan yang menyimpang dari sifat Rasulullah SAW yang sebenarnya.
(disunting dari http://www.islam.gov.my/khutbah-online)

Wednesday, September 12, 2012

[76] Kemerdekaan Malaysia ke 55: Janji Ditepati



Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Sesungguhnya, kemerdekaan atau kebebasan dari belenggu penjajahan dan cengkaman asing yang kita kecapi ini adalah satu nikmat kurniaan Allah SWT yang amat besar ertinya kepada kita semua.  Justeru, kita perlu mensyukuri nikmat kemerdekaan yang kita kecapi agar nikmat ini akan berkekalan dan kemakmuran negara akan sentiasa bertambah dengan pengisian-pengisian yang diredhai Allah.

Imam Al-Ghazali RA di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin menggariskan bahawa bagi mensyukuri nikmat Allah itu perlulah ada 3 perkara berikut, iaitu:

 Pertama: Hendaklah mengiktiraf bahawa nikmat tersebut datangnya daripada Allah SWT walaupun pada zahirnya ia datang melalui pelbagai sebab dan sumber.

Kedua: Hendaklah tidak mensia-siakan nikmat tersebut dengan mengabaikannya.

Ketiga: Hendaklah menggunakan nikmat tersebut dengan cara yang diredhai oleh Allah.

Bagaimanakah kemerdekaan dapat di kekalkan di negara ini? Kebijaksanaan pemerintah di dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang berteraskan maqasid al-Syariah demi kepentingan rakyat adalah teras kepada kemakmuran negara. Secara ringkasnya Maqasid al-Syariah ialah melakukan kebaikan bertujuan untuk menjaga tata susila, kepentingan dan sistem hidup.  Dengan kata lain mengurus sesuatu dan menjaganya dengan apa cara yang boleh membawa kepada kebaikan dan merupakan matlamat yang ingin di capai dalam melaksanakan sesuatu, memberikan petunjuk yang jelas berhubung kaedah berfikir dan bertindak umat Islam terutama dalam kes-kes berkaitan dengan kemaslahatan ummah, iaitu, yang menyentuh secara langsung dalam soal kebajikan, kebaikan, manfaat dan faedah umat Islam.

Seorang ulama terkenal Fathi Uthman mengatakan di dalam kitabnya al-Fikr al-Qanuni al-Islami bahawa Siasah al-Syariah merupakan hal berkaitan dengan undang-undang ketatanegaraan dan pentadbiran yang merangkumi soal-soal kekuasaan pemerintah, khalifah, hak-hak individu dan sebagainya. Manakala menurut Imam Ghazali di dalam kitabnya' al-Mustashfa' bahawa lima perkara pokok yang perlu dipelihara dalam maksud syariah itu sendiri;  agama,  diri,  akal,  keturunan dan harta.

Para ulama Islam telah menggariskan lima kepentingan yang wajib dijaga oleh pemerintah yang tiada tolak ansur untuk mengabaikannya agar umat Islam mampu bertahan menghadapi segala cabaran. Kepentingan tersebut mengikut keutamaan ialah:-

Pertama: Menjaga Agama, Sebagai pemerintah maka menjadi kewajipan untuk meletakkan kepentingan agama ditempat yang teratas. Segala perkara yang merosakkan agama hendaklah dihindarkan. Penyelewengan akidah wajib dibanteras. Pemimpin yang menjaga agama akan menjadi seorang yang adil dan berintegriti, tidak akan membenarkan sesuatu berlaku yang akan merosakkan akhlak dan moral. Mereka  yang tidak beragama akan lemah akhlaknya dan hilang semangat patriotik dan jati dirinya, dan tidak mustahil akan menggadaikan kepentingan negaranya demi memenuhi tuntutan hawa nafsunya. Namun perlu diingat di dalam kita menjaga agama pelbagai cabaran yang perlu di atasi antaranya aliran pemikiran pluralisme, liberalisme, LGBT dan lain-lain lagi.

Kedua: Menjaga nyawa,   Islam mengharamkan penumpahan darah dengan jalan yang tidak benar. Apabila nyawa tidak terpelihara maka negara akan musnah, ketenteraman dan keamanan akan hilang. Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud: Seseorang Islam itu ialah yang menyelamatkan kaum muslimin melalui lidah (bicara) dan tangannya (kuasa dan perlakuan), dan orang yang beriman pula ialah orang yang dipercayai oleh orang lain dalam menjamin nyawa dan harta benda mereka. (Riwayat al-Tirmizi)

Ketiga: Menjaga akal Akal wajib dipelihara dan dipupuk dengan nilai-nilai mulia dan ilmu. Semua unsur-unsur yang menjurus kepada kehilangan akal seperti arak, dadah wajib dibanteras dengan segera. Hanya generasi yang berakal yang mampu mempertahankan kemerdekaan negara.

Keempat: Menjaga maruah dan keturunan  Keturunan wajib dipelihara demi menjaga sistem sosial dalam masyarakat Islam. Apabila keturunan telah rosak dengan sebab menyalahi syariat dan tabie manusia seperti penzinaan, liwat, lesbian, gay, dwiseksual dan sebagainya maka struktur sosial akan menjadi kacau bilau dan akhirnya akan runtuh dengan sendirinya.  

Kelima: Menjaga harta, Dalam menjaga harta Islam telah mengariskan prinsipnya iaitu  al-adl wal ihsan. Pendekatan Islam amat menitik berat soal keadilan dengan mengharamkan segala bentuk penindasan, amalan riba, penipuan, rasuah, monopoli yang tidak seimbang, manipulasi pasaran dan segala bentuk penyelewengan atau perkara-perkara yang menzalimi dan merugikan pihak-pihak tertentu.

Bersempena dengan Sambutan Hari Kemerdekaan yang bertemakan JANJI DI TEPATI, adalah wajar bagi kita untuk mengenang kembali segala pengorbanan dan susah payah para pejuang negara yang telah berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil cetusan pemikiran dan semangat juang yang tinggi daripada tokoh-tokoh politik, para cendikiawan dan para alim ulama. Hasilnya, kita semua dapat hidup dengan aman dan makmur di bumi Malaysia yang bertuah ini. Sesungguhnya perjuangan mereka adalah perjuangan yang sangat mulia di sisi Allah SWT.

Dinukilkan dari http://www.islam.gov.my/khutbah-online
 
Powered by Blogger