Showing posts with label P. Moral. Show all posts
Showing posts with label P. Moral. Show all posts

Thursday, February 16, 2017

[95] Konsep Moral



Konsep Moral

Perkataan ‘moral’ berasal daripada perkataanmores’  (bahasa Yunani) yang membawa erti: tingkah laku yang sejajar dengan tatasusila dan peraturan masyarakat. Oleh itu, moral merupakan nilai-nilai murni  seperti baik hati, merendah diri, belas kasihan dan berkait dengan beberapa peraturan seperti tatahukum, tatasusila, tatatertib, nilai tradisi, kepercayaan, undang-undang, norma dan adat dalam mana-mana masyarakat yang dimaksudkan. 

Contohnya, sepasang suami isteri menemui seorang bayi di tepi sebuah balai raya ketika pulang ke kampung orang tuanya. Kebetulannya pasangan itu tidak mempunyai anak setelah 10 tahun berkahwin. Mereka bercadang untuk membawa bayi comel itu balik  ke rumah dan menjaganya tanpa mengikut peraturan undang-undang. Akhirnya  setelah berbincang, mereka akur bahawa undang-undang negara perlu dipatuhi. Mereka membawa bayi comel itu ke balai polis untuk tindakan selanjutnya mengikut peruntukan undang-undang yang ditentukan.

(Modul PPG)

Tuesday, January 26, 2016

[88] Hargai Masa


PEJAM celik sudah hampir sebulan kita berada di tahun 2016 Masihi, terasa masih baru sahaja kita menginjakkan kaki di tahun 2016 ini dan menyambut Tahun Baru. Begitu pantas masa berlalu sehingga kita merasakan bahawa minggu berlalu itu bagaikan sehari lalu. Sebenarnya inilah antara tanda-tanda akhir zaman sepertimana mafhum hadith Baginda SAW: “Tidak akan berlaku Kiamat sehingga masa berlalu dengan begitu pantas, setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seminggu, seminggu dirasakan bagai sehari dan sehari bagaikan sejam manakala sejam pula bagaikan kerlipan api yang bertiup (HR Tirmidhi).  Inilah hakikat perasaan yang rata-rata di kalangan kita dapat merasakannya. Bagi segelintir atau mungkin sebahagian besar daripada kita azam tahun 2015 pun masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya, tetapi masa telah pun berlalu pantas dan memaksa kita memulakan dengan azam baru untuk tahun baharu. Lalu kita menyalahkan masa kerana berlalu pantas sedangkan yang salah bukannya masa tetapi kelalaian dan kealpaan diri kita sendiri. Imam al-Shafi’e menukilkan dalam Diwannya: “Kita menyalahkan masa, walhal salahnya itu bukan pada masa, sedangkan kita yang bersalah, bukan yang selainnya”.
Masa dikatakan lebih berharga daripada emas. Pepatah ini kurang tepat kerana bagi seseorang yang kehilangan emas, dia mungkin boleh mendapatkannya kembali melalui usaha yang gigih, namun masa jika ia berlalu ia pasti tidak akan kembali lagi seperti mana tahun 2015 yang telah meninggalkan kita ia tidak akan kembali lagi buat selamanya. Sebab itulah juga Imam al-Ghazali dikatakan memberi teka teki kepada anak muridnya apakah perkara yang paling jauh sekali? Maka anak muridnya memberikan pelbagai jawapan namun beliau memberi jawapan yang betul ialah “masa lampau”. Masa silam itulah yang paling jauh sekali yang mustahil dapat dicapai sedangkan segala perkara, tempat yang jauh-jauh masih memungkin kita mencapainya.
Namun manusia tidak begitu menghargai masa. Ini berdasarkan hadith Baginda SAW yang mafhumnya:Dua nikmat yang ramai di kalangan manusia yang tidak menghargainya iaitu kesihatan dan masa lapangnya”. (HR. Bukhari, Tirmidhi dan Ibn Majah). Orang yang sihat hanya akan menghargai kesihatannya apabila beliau sakit atau terlantar di hospital lalu mula mengenangkan masa ketika beliau sihat. Begitu juga orang yang sibuk juga membayangkan alangkah indahnya jika dia mempunyai banyak masa lapang seperti anak-anak kecil.
Dunia ini diibaratkan sebagai “ladang akhirat”.  Kita sebenarnya bercucuk tanam di atas mukabumi ini akan mengutip hasil tanaman kita di Hari Akhirat kelak. Kehidupan duniawi ini seolah seperti suatu perniagaan di mana laba atau keuntungannya akan kita peroleh di Hari Akhirat kelak. Namun, kita tidak begitu sensitif terhadap “modal masa” ini berbanding jika modal tersebut berupa “wang ringgit” Pembaziran masa berlaku sewenang-wenangnya melalui perbualan-perbualan kosong, masa interaksi di media sosial yang tidak berfaedah dan pelbagai lagi aktiviti-aktiviti lain untuk “menghabiskan masa”. Masa sepatutnya bukan “dihabiskan” tetapi digunakan untuk perkara-perkara bermanfaat kerana masa itu sebenarnya usia kita dan menghabiskan masa itu bermakna kita membazirkan usia kita sendiri. Lantaran itulah Imam Hasan al-Basri RA mengingatkan kepada kita semua dengan kata-katanya yang mahsyur: Wahai anak Adam! Kamu adalah himpunan hari-hari, dan apabila berlalunya hari, maka berlaku sebahagian daripada dirimu. Tepat sekali! Seorang yang hidup 70 tahun sebenarnya adalah masanya yang amat bernilai dan akan lebih nampak kebernilaiaannya apabila apabila dipecahkan kepada bulan, minggu dan hari. Jika dihitung dalam ukuran jam pula, ianya sekitar 7 juta jam menyamai 70 tahun umurnya. Itulah hitungan jam yang ada padanya diberikan Allah sebagai modal untuk beliau menyiapkan diri bagi kehidupannya yang kekal di Akhirat kelak.
Terlalu banyak anjuran dan gesaan al-Qur’an dan Hadith Baginda SAW yang menyeru menjaga masa termasuklah penurunan Surah al-‘Asr. Nabi SAW sendiri juga ada berpesan: Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati.” (HR al-Hakim dan al-Bayhaqi). Jika pun mungkin sebahagian kita sudah tidak lagi memiliki kesemua lima-lima perkara yang disebutkan oleh Baginda SAW itu, yang pasti setiap kita masih lagi memiliki satu perkara yang teramat penting dan berharga iaitu “masa hidup sebelum mati”.
Justeru itu, dalam kehidupan di dunia ini, marilah sama-sama kita menginsafi bahawa modal yang kita miliki dalam perniagaan kita di atas mukabumi ini ialah masa yang kita miliki. Setiap saat berlalu, maka berlalulah modal kita samada ianya telah memberikan keuntungan kepada kita untuk Hari Akhirat kelak atau tidak ianya terpulanglah bagaimana cara kita menghabiskannya. Dengan kedatangan tahun baharu 2016 ini, sama-samalah kita berazam memanfaatkan masa dengan sebaiknya lebih baik daripada 2015.

Penulis:
Nik Roskiman Abdul Samad
Merupakan Pengarah Pusat Media Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Aktif menulis dalam akhbar dan majalah termasuk menjadi kolumnis majalah Q&A. Memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pengkhususan dalam bidang tasawuf dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Wednesday, March 21, 2012

[68] Senyum Itu Sedekah

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera


Dari Jabir bin Abdullah r.a katanya:”Rasulullah SAW bersabda “Tiap-tiap perkara yang makruf menjadi sedekah. Antara perkara yang makruf itu ialah hendaklah engkau (semasa) bertemu dengan saudaramu (sesama anak Adam) biarlah dengan muka yang manis dan (kalau ada yang meminta air) hendaklah engkau tuangkan timbamu ke dalam bekas air yang dibawanya.”   (HR Ahmad)

Makruf adalah segala perkara yang diketahui umum tentang kebaikannya sama ada dari segi syarak atau dari segi adat (yang tidak bercanggah dengan syarak). Manakala perkara yang mungkar pula adalah sebaliknya. Setiap mukmin hendaklah sentiasa bermuka manis dan berbudi bahasa tinggi semasa berhubung dengan orang lain kerana hal ini juga dianggap sebagai satu sedekah.  

Senyum itu mudah? Senyuman yang tulus itu sukar. Senyuman yang dusta juga bukan suatu yang mudah. Oleh itu senyum yang menjadi sedekah juga bukan semudah yang kita bayangkan. Sesungguhnya, "Senyum itu akan terasa berat dilakukan bagi jiwa yang belum dibiasakan dengan kebaikan…." (Muhammad Qutb) 

Admin JPIM

Wednesday, March 7, 2012

[67] Kata-kata Positif vs Kata-kata Negatif

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Mari kita renungkan, apabila dalam setiap tindakan kita memilih kata-kata yang negatif, maka kata-kata itu akan menempel dan menghancurkan motivasi diri kita sendiri, bahkan lebih parah lagi mungkin juga akan berdampak kepada orang lain atau boleh juga beberapa generasi selanjutnya

Sebaliknya bila kita selalu memandang positif dan memilih kata-kata yang positif, maka ada sinar yang datang secara automatis yang boleh membangun, mendukung dan meningkatkan motivasi diriSebenarnya kita sendiri yang memilih apa yang akan kita ambil untuk diri kita dan orang-orang di sekitar kita. Misalnya ada gelas yang berisi air putih bersih dan di tangan kanan kita ada kerikil bersih dan di tangan kiri ada kerikil kotor

Apabila kita masukkan kerikil bersih ke dalam gelas itu, maka air tetap berwarna putih, tetapi bayangkan kita masukkan kerikil kotor , maka gelas itu akan segera berubah menjadi air kotor dan tidak berwarna putih lagi

Dalam kehidupan,  kata-kata yang kita gunakan ibarat kerikil; sedangkan air,  kita ibaratkan sebagai diri kita dan orang-orang dalam kehidupan kita. Apabila kita memilih kerikil kotor yang juga diibaratkan kata-kata negatif maka tidak hanya mencemari diri kita tetapi juga akan mencemari motivasi orang lain disekitar kita. Renungkan !

(Siti Fatimah Ahmad / JPIM) 

[66] Vandalisme di IPG?

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Pemandangan yang tidak sepatutnya terjadi di IPG sebagai gedung ilmu dan 'kilang' pemprosesan jati diri modal insan. Renung-renungkanlah.

Friday, August 19, 2011

[P48] Sosialisasi


Assalamualaikum.

PERANAN SOSIALISASI DALAM PEMBENTUKAN TINGKAH LAKU MORAL INDIVIDU

Sosialisasi merupakan proses seseorang individu mempelajari dan menerima nilai, sikap, kemahiran yang dipunyai oleh keluarga/masyarakat bagi membentuk personalitinya yang tersendiri untuk menjadi ahli masyarakat tersebut. Sosialisasi dapat membantu seseorang memainkan peranan sosialnya dengan sempurna. Misalnya seorang guru akan sedar dan tahu peranan dan tanggungjawab tentunya akan mengasuh dan menyayangi anak muridnya. Seorang anak dan pelajar juga akan tekun belajar jika ia sedar bahawa itu adalah tanggungjawabnya dan harapan ibu bapanya. Jadi, sosialisasi menyedarkan seseorang tentang apa yang patut dan tidak patut dilakukan. Sosialisasi dapat membantu mengekalkan idea-idea, nilai-nilai dan pola-pola tingkah laku yang menyatukan masyarakat supaya terus kekal walaupun ahli-ahli masyarakatnya silih berganti. Melalui sosialisasi kebudayaan manusia dapat dipindahkan daripada satu generasi kepada generasi yang lain.

Tuesday, July 19, 2011

[P43] Teori Etika

Assalamualaikum.


Etika merupakan teori yang berkaitan dengan tindakan, hujah dan tujuan yang mengarah kepada makna sesuatu tindakan. Etika adalah bukan yang bersangkutan dengan fakta atau fizikal manusia tetapi merupakan suatu falsafah moral yang mengambilkira tindakan atau tingkahlaku manusia. Etika juga merupakan satu disiplin ilmu yang mengkaji tentang moral, prinsip moral, kaedah moral dan tindakan serta kelakuan manusia yang betul.


(1) Teori Teleologikal

Teori ini mengatakan bahawa nilai “betul” atau “salah” bergantung kepada kesan sesuatu perbuatan. Keputusan yang terakhir bergantung kepada jumlah badingan perkara-perkara baik atau betul yang dilakukan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, iaitu perbandingan antara baik dan buruk, betul dan salah. Ini bererti sesuatu tindakan atau perbuatan perlu dilakukan sekiranya ia membawa lebih banyak atau bertujuan membawa lebih banyak kebaikan daripada keburukan mengikut peraturan yang berkenaan. Teori teleologikal amat mementingkan hasil akibat sesuatu tindakan. Teori teleologikal boleh dilihat daripada dua perspektif, iaitu utilitarianisme dan egoisme.

Thursday, July 14, 2011

[P42] Moral, Etika dan Akhlak Dari Perspektif Agama dan Kepercayaan

Assalamualaikum.

Moral, Etika dan Akhlak Dari Perspektif Agama dan Kepercayaan

Dorothy Emmet (1966) menyatakan bahawa nilai moral bukan sesuatu yang wujud tersendiri dan terperinci dalam satu kekosongan. Pada tahun 1979, beliau mengatakan bahawa manusia bergantung atas beberapa peraturan, adat, kebiasaan masyarakat dan agama yang menolong mereka dengan lebih mudah membuat jangkaan tentang cara tingkah laku orang lain. James Hemming(1980) menyatakan bahawa peraturanperaturan masyarakat mestilah dilihat sebagai fakta-fakta kehidupan sosial, sebagai prinsip-prinsip yang perlu dalam pergaulan dan kelakuan terhadap orang lain dan perhubungan antara manusia. (Koo, K.P. & Tang C.Y, 1990)

Tuesday, July 12, 2011

[P40] Jenis-jenis Pemikiran Moral

Assalamualaikum.


Naturalis

Naturalisme ialah aliran pemikiran yang menggambarkan sesuatu itu dalam keadaannya yang sebenar. Kecenderungan individu untuk menerima sahaja keadaan yang sebenarnya dapat dikatakan berfikiran naturalis.

Antaranya contoh yang menggambarkan seseorang individu atau masyarakat yang berfikiran sedemikian ialah:

· Seorang pelajar Tingkatan Lima mengeluh apabila melihat slip keputusan peperiksaan percubaan setara yang keseluruhannya teruk. Pelajar tersebut mengeluh dan menerima keputusan itu dengan mengatakan memang dia bodoh, belajar macam mana pun begitu juga prestasinya.
· Masih ada masyarakat yang percaya dengan maksud peribahasa rezeki secupak takkan jadi segantang. Lantaran itu mereka terus menerus miskin walau pun negara telah merdeka 47 tahun yang lalu.
· Pulau Langkawi sebelum ini tidak membangun kerana kebanyakan penduduknya percaya bahawa pulau itu terkena Sumpahan Mahsuri iaitu tujuh keturunan menjadi padang jarak padang tekukur. Dengan kata lain mereka menerima sumpahan Mahsuri hingga menyebabkan kurang daya usaha untuk membangunkan pulau tersebut sebelum tujuh keturunan berakhir.

Monday, July 11, 2011

[P39] Baik, Benar Patut

Assalamualaikum.

Konsep Baik, Benar dan Patut

Individu yang bermoral harusnya memegang kepada konsep baik, benar dan patut.

Contohnya:

Kita patut melakukan apa yang baik dan benar.
Anda patut berkelakuan baik.
Anda patut makan makanan berkhasiat
Menderma adalah satu perbuatan yang baik dan patut dilakukan.

Sesuatu tindakan itu dikata baik atau benar sekiranya tindakan sejajar dengan tugas dan tanggungjawab, dan salah jika perlakuan/tindakan bertentangan konsep baik dan benar.  Konsep ini adalah agak abstrak dan ahli falsafah yang berlainan telah mentakrifkannya dalam konteks atau pendekatan yang berbeza.

[P38] Konsep Asas Moral

Assalamualaikum.

Konsep Moral

Moral berasal dari bahasa Latin moralitas yang bererti cara, perwatakan dan tingkah laku yang diterima. Konsep moral membawa pengertian kesedaran tentang ajaran atau pegangan berkenaan dengan baik buruk sesuatu perbuatan, sikap atau cara berkelakuan yang sejajar dengan tatasusila dan peratuaran masyarakat. Oleh itu, konsep moral ini merujuk kepada kawalan tingkah laku yang berlandaskan standard-standard yang dihayati serta diamalkan oleh seseorang individu. Seseorang yang dikatakan memiliki tingkah laku yang bermoral jika tingkah laku tersebut berdasarkan prinsip-prinsip atau peraturan-peraturan yang diterima.

Tuesday, March 15, 2011

[P15] Nilai Murah Hati


Assalamualaikum.

Berikut ialah tulisan berkaitan nilai ‘murah hati’ oleh Ungki ak. Kingsoon, KPLI SR(Bimbingan) Januari 2010.

Murah hati dapat didifinisikan  sikap yang sentiasa mengambil berat perasaan dan kebajikan orang lain. Disamping itu juga sikap murah hati ini boleh disebut apabila seseorang sedia memberi bantuan secara ikhlas kepada mereka yang memerlukan sama ada dalam bentuk kewangan, kebendaan atau sokongan moral.

 
Powered by Blogger