Showing posts with label P. Islam. Show all posts
Showing posts with label P. Islam. Show all posts

Tuesday, January 26, 2016

[88] Hargai Masa


PEJAM celik sudah hampir sebulan kita berada di tahun 2016 Masihi, terasa masih baru sahaja kita menginjakkan kaki di tahun 2016 ini dan menyambut Tahun Baru. Begitu pantas masa berlalu sehingga kita merasakan bahawa minggu berlalu itu bagaikan sehari lalu. Sebenarnya inilah antara tanda-tanda akhir zaman sepertimana mafhum hadith Baginda SAW: “Tidak akan berlaku Kiamat sehingga masa berlalu dengan begitu pantas, setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seminggu, seminggu dirasakan bagai sehari dan sehari bagaikan sejam manakala sejam pula bagaikan kerlipan api yang bertiup” (HR Tirmidhi).  Inilah hakikat perasaan yang rata-rata di kalangan kita dapat merasakannya. Bagi segelintir atau mungkin sebahagian besar daripada kita azam tahun 2015 pun masih belum dapat dilaksanakan sepenuhnya, tetapi masa telah pun berlalu pantas dan memaksa kita memulakan dengan azam baru untuk tahun baharu. Lalu kita menyalahkan masa kerana berlalu pantas sedangkan yang salah bukannya masa tetapi kelalaian dan kealpaan diri kita sendiri. Imam al-Shafi’e menukilkan dalam Diwannya: “Kita menyalahkan masa, walhal salahnya itu bukan pada masa, sedangkan kita yang bersalah, bukan yang selainnya”.
Masa dikatakan lebih berharga daripada emas. Pepatah ini kurang tepat kerana bagi seseorang yang kehilangan emas, dia mungkin boleh mendapatkannya kembali melalui usaha yang gigih, namun masa jika ia berlalu ia pasti tidak akan kembali lagi seperti mana tahun 2015 yang telah meninggalkan kita ia tidak akan kembali lagi buat selamanya. Sebab itulah juga Imam al-Ghazali dikatakan memberi teka teki kepada anak muridnya apakah perkara yang paling jauh sekali? Maka anak muridnya memberikan pelbagai jawapan namun beliau memberi jawapan yang betul ialah “masa lampau”. Masa silam itulah yang paling jauh sekali yang mustahil dapat dicapai sedangkan segala perkara, tempat yang jauh-jauh masih memungkin kita mencapainya.
Namun manusia tidak begitu menghargai masa. Ini berdasarkan hadith Baginda SAW yang mafhumnya:“Dua nikmat yang ramai di kalangan manusia yang tidak menghargainya iaitu kesihatan dan masa lapangnya”. (HR. Bukhari, Tirmidhi dan Ibn Majah). Orang yang sihat hanya akan menghargai kesihatannya apabila beliau sakit atau terlantar di hospital lalu mula mengenangkan masa ketika beliau sihat. Begitu juga orang yang sibuk juga membayangkan alangkah indahnya jika dia mempunyai banyak masa lapang seperti anak-anak kecil.
Dunia ini diibaratkan sebagai “ladang akhirat”.  Kita sebenarnya bercucuk tanam di atas mukabumi ini akan mengutip hasil tanaman kita di Hari Akhirat kelak. Kehidupan duniawi ini seolah seperti suatu perniagaan di mana laba atau keuntungannya akan kita peroleh di Hari Akhirat kelak. Namun, kita tidak begitu sensitif terhadap “modal masa” ini berbanding jika modal tersebut berupa “wang ringgit” Pembaziran masa berlaku sewenang-wenangnya melalui perbualan-perbualan kosong, masa interaksi di media sosial yang tidak berfaedah dan pelbagai lagi aktiviti-aktiviti lain untuk “menghabiskan masa”. Masa sepatutnya bukan “dihabiskan” tetapi digunakan untuk perkara-perkara bermanfaat kerana masa itu sebenarnya usia kita dan menghabiskan masa itu bermakna kita membazirkan usia kita sendiri. Lantaran itulah Imam Hasan al-Basri RA mengingatkan kepada kita semua dengan kata-katanya yang mahsyur: “Wahai anak Adam! Kamu adalah himpunan hari-hari, dan apabila berlalunya hari, maka berlaku sebahagian daripada dirimu”. Tepat sekali! Seorang yang hidup 70 tahun sebenarnya adalah masanya yang amat bernilai dan akan lebih nampak kebernilaiaannya apabila apabila dipecahkan kepada bulan, minggu dan hari. Jika dihitung dalam ukuran jam pula, ianya sekitar 7 juta jam menyamai 70 tahun umurnya. Itulah hitungan jam yang ada padanya diberikan Allah sebagai modal untuk beliau menyiapkan diri bagi kehidupannya yang kekal di Akhirat kelak.
Terlalu banyak anjuran dan gesaan al-Qur’an dan Hadith Baginda SAW yang menyeru menjaga masa termasuklah penurunan Surah al-‘Asr. Nabi SAW sendiri juga ada berpesan: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa mudamu sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa mati.” (HR al-Hakim dan al-Bayhaqi). Jika pun mungkin sebahagian kita sudah tidak lagi memiliki kesemua lima-lima perkara yang disebutkan oleh Baginda SAW itu, yang pasti setiap kita masih lagi memiliki satu perkara yang teramat penting dan berharga iaitu “masa hidup sebelum mati”.
Justeru itu, dalam kehidupan di dunia ini, marilah sama-sama kita menginsafi bahawa modal yang kita miliki dalam perniagaan kita di atas mukabumi ini ialah masa yang kita miliki. Setiap saat berlalu, maka berlalulah modal kita samada ianya telah memberikan keuntungan kepada kita untuk Hari Akhirat kelak atau tidak ianya terpulanglah bagaimana cara kita menghabiskannya. Dengan kedatangan tahun baharu 2016 ini, sama-samalah kita berazam memanfaatkan masa dengan sebaiknya lebih baik daripada 2015.

Penulis:
Nik Roskiman Abdul Samad
Merupakan Pengarah Pusat Media Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Aktif menulis dalam akhbar dan majalah termasuk menjadi kolumnis majalah Q&A. Memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) pengkhususan dalam bidang tasawuf dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

Wednesday, September 2, 2015

[86] SEHATI SEJIWA




Sempena dengan kemerdekaan tanah air kita, bersama-samalah kita memerdekakan diri dari sebarang fahaman, pemikiran dan pengamalan yang tersasar daripada garis panduan Islam yang sebenar agar kita mendapat kemenangan hidup di dunia dan akhirat. Kedatangan Islam membawa sifat kemerdekaan, iaitu menyeru manusia supaya membebaskan diri daripada sebarang bentuk amalan dan kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam.

Dalam mendepani arus kemodenan dunia sekarang, kecanggihan teknologi maklumat dan media baru memainkan peranan yang amat penting kerana semua maklumat yang diterima hanya di hujung jari sahaja. Maklumat atau berita yang diperoleh itu ada kalanya benar atau pun palsu yang disebarkan secara berleluasa melalui aplikasi media sosial dengan begitu cepat kepada masyarakat. Namun secara pasti, limpahan maklumat yang diperoleh itu sudah tidak lagi mampu untuk ditapis dan dipastikan kebenarannya.

Friday, June 7, 2013

[81] Mukjizat Israk Mikraj Nabi SAW



Menurut sebahagian ulama, peristiwa Isra’ Mikraj ini berlaku pada malam 27 Rejab setahun sebelum Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah. Peristiwa ini adalah perjalanan suci Rasulullah SAW bagi memenuhi jemputan Allah SWT. Peristiwa Isra’-Mikraj ini juga sebenarnya membuka cerita kepada kita tentang hakikat alam semesta ini. Bagaimana kedudukannya, susunan langit-langit yang tujuh lapis/tingkat namun yang lebih penting dalam Isra’ Mikraj adalah petunjuk, pedoman dan panduan untuk kita umat di akhir zaman. Firman Allah SWT dalam surah al-Israk, ayat 1 yang bermaksud:
“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya, untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Bagaimana pun sebelum berlaku Isra’ Mikraj, Rasulullah SAW menjalani pembedahan dada yang dilakukan oleh Malaikat Jibril  untuk membersih hati daripada ketulan hitam bernama ’alaqah iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya dan dimasukkan hikmat, ilmu, dan iman. Selepas itu Allah SWT mengatur program kerohanian untuk Rasulullah SAW iaitu program Isra’ Mikraj mengadap Allah SWT dalam tempoh satu malam sahaja. Peristiwa ini menjadi bukti kekuasaan Allah SWT ke atas hamba-Nya dalam membina dan memantapkan pegangan akidah.

Perjalanan suci Rasulullah SAW ini melibatkan beberapa perkara luar biasa iaitu perjalanan dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis Palestin,  Rasulullah SAW menjadi imam solat kepada Rasul-rasul sedangkan mereka itu telah lama meninggal dunia, dan mengadap Allah SWT di Sidratul Muntaha untuk menerima perintah solat secara berhadapan terus dengan Allah SWT.

Perjalanan yang melibatkan dua masjid tertua di dunia dan paling suci dalam Islam menjadi petanda betapa hubungan akrab antara Masjidil Haram dengan Masjidil Aqsa berkaitan pertalian kiblat dan pusat gerakan Rasul-rasul terdahulu menegakkan syiar Islam. Kemudian Rasulullah SAW menjadi imam kepada beberapa Nabi dalam suasana alam kerohanian itu dan bersalaman satu sama lain menunjukkan bahawa para Nabi semuanya akur terhadap kedudukan Baginda sebagai Rasul terakhir yang menyempurnakan syariat agama Allah SWT. 

Pertemuan Rasulullah SAW dengan Allah SWT di Sidratul Muntaha dalam suasana alam kerohanian itu tanpa ditemani Malaikat Jibril, adalah pertemuan kemuncak sebagai penghargaan dan penghormatan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang menyempurnakan Islam sebagai agama global untuk manusia. Inilah bukti kekuasan dan kebesaran Allah SWT yang mampu melakukan apa sahaja yang diinginkan-Nya.

Salah satu pengajaran dalam peristiwa Isra’ Mikraj ialah persediaan teliti Rasulullah SAW dalam penyucian hati atau kalbu. Proses penyucian hati ini akan mengukuhkan kepercayaan kita bahawa dalam pertemuan dengan Allah SWT, seseorang dituntut membersihkan jiwa dan raganya daripada pelbagai sifat keji. Dengan jiwa yang bersih, penuh keimanan dan ketakwaan, maka akan beroleh kemudahan untuk berkomunikasi secara khusyuk dengan Allah SWT dan membawa hasil yang menguntungkan.

Kebersihan dan penyucian hati amat penting dalam membentuk keperibadian manusia. Pakaian yang bersih apabila kita pakai akan menjadi kotor. Semakin lama kita pakai, maka semakin kotor pakaian kita. Cuba bayangkan bagaimana rupa dan baunya jika pakaian itu tidak dibasuh. Demikian juga dengan tubuh badan kita. Semakin hari semakin kotor, berbau busuk dan terdedah kepada pelbagai penyakit jika kita tidak mandi dan membersihkannya dengan sempurna.

Begitu jugalah hati manusia. Setiap manusia tanpa mengira kedudukan pangkat dan keturunan ketika dilahirkan adalah dalam keadaan bersih. Bagaimana pun, manusia ini mempunyai sifat kelemahannya. Manusia menginginkan pangkat, kedudukan, kemuliaan, penghormatan, kekayaan dan kesenangan. Dalam keadaan sedar memenuhi keperluan hidup itu, maka manusia kadangkala atau yang berat lagi bertabiat pula melakukan dosa kecil atau besar. Dosa ini akan menjadi titik hitam dalam hati. Semakin banyak kesalahan maka semakin tebal titik hitam dalam hati seseorang. Kelemahan dan kegagalan manusia menyelenggara dan meningkatkan prestasi penyucian hati telah menjerumuskan individu atau keluarga dalam perbuatan yang bercanggah dengan hukum Allah SWT dan hak asasi manusia.

Antara tanda- tanda semakin tebal titik hitam dalam hati manusia ialah, Pertama: Malas melakukan ketaatan dan amal kebaikan. Kedua: Tidak tersentuh hatinya apabila mendengar ayat- ayat al-Quran. Ketiga: Tidak tersentuh dengan perkara yang terjadi seperti berlakunya peristiwa yang dapat memberikan pelajaran sebagai contoh kematian, sakit, bencana. Keempat: Berlebihan mencintai dunia serta melupakan akhirat. Kelima: Berkawan dengan orang yang melakukan maksiat. Keenam: Kemaksiatan yang berterusan. Ketujuh: Meremehkan dosa kecil. Dan kelapan: Tidak peduli sumber makanan.

Persoalan besar timbul ialah bagaimana cara kita membaiki, menyelenggara dan meningkatkan prestasi hati kita supaya ianya terus selari dengan akidah, akhlak dan syariat Islam?. Mimbar ingin menyatakan bahawa pada masa ini umat Islam terdedah kepada pelbagai bentuk cabaran yang menguji kekuatan akidah umat Islam. Pelbagai fahaman, ideologi moden seperti kapitalisme, materialisme, fahaman liberalisme, pluralisme dan komunisme serta unsur-unsur negatif yang mempengaruhi umat Islam telah melanda dengan mudahnya. Kita juga digemparkan dengan isu murtad dan cubaan memurtadkan umat Islam. Kita dihimpit dengan budaya songsang seperti black metal, budaya punk, gejala gay dan seks bebas. Gejala ini berlaku disebabkan oleh beberapa perkara antaranya kepincangan keimanan dan kecemaran hati umat Islam yang di gelapkan oleh perbuatan mereka sendiri.

Ketahuilah hati kita adalah pusat kesedaran, pusat penggerak setiap gerak geri kaki tangan, mulut, mata, fikiran dan pancaindera kita. Alangkah indahnya pergaulan antara manusia dalam masyarakat apabila manusia yang hidup dalam masyarakat mempunyai hati yang putih bersih kerana dapat menjamin masyarakat hidup dengan aman damai.

Inilah masanya umat Islam mesti sedar dan meletakkan kepentingan Islam di dalam hatinya melebihi segala kepentingan yang lain. Pertahankanlah kesucian dan kedaulatan agama Islam sebaik yang mungkin dan bertindaklah berdasarkan kebijaksanaan dan keimanan. Janganlah disebabkan tindakan dan perbuatan kita yang hanya menurut emosi, kesucian agama Islam boleh tergadai dan tergugat.

Walaupun dalam keadaan sibuk mana sekalipun dengan urusan dunia, sediakanlah dalam masa-masa tertentu untuk menginsafi, bertaubat dan meminta ampun kepada Allah SWT. Sediakan waktu-waktu tertentu untuk mengingati Allah SWT, memuji dan membesarkan Allah SWT, mensucikan Allah SWT agar hati dan jiwa menjadi kembali bersih. Marilah kita melipatgandakan penyucian diri dan beribadahlah menyembah Allah SWT dengan penuh berkualiti dalam menunaikan solat, berzakat, menunaikan puasa, haji, melaksanakan ibadah sunat yang lain serta sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.

Sekiranya peristiwa dan kebenaran dalam Isra’ Mikraj ini ditauladani dan dipelajari serta dihayati sebaik mungkin, insyaallah kita mampu mengelakkan diri daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan dan kemungkaran serta terjerumus dengan gaya hidup berdosa. Sejarah ataupun peristiwa yang telah berlaku dimasa lalu mesti dijadikan cerminan dan panduan untuk masa hadapan. Hidup ini umpama kita memandu kenderaan, kita memerlukan cermin untuk kita melihat ke belakang sebagai panduan bagi kita untuk memandu ke hadapan. Inilah kepentingan sejarah dan peristiwa yang telah berlaku. Bayangkanlah, apakah akibatnya jika kita memandu kenderaan tanpa menggunakan cermin untuk melihat ke belakang?. Sudah pasti kita akan berhadapan dengan kemalangan mahupun tragedi yang buruk.

Maka, jadikanlah pengajaran di sebalik peristiwa yang telah berlaku terutamanya sejarah dalam negara kita mahupun sejarah Islam untuk meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Isra’ dan Mikraj  merupakan satu ujian dalam proses pemisahan antara orang yang benar-benar beriman atau mereka yang tipis imannya dan yang kufur ingkar terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya. Firman Allah SWT di dalam surah al-Ankabuut ayat 45 bermaksud:
“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Qur'an, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

[Dipetik dari khutbah Jumaat pada 7 JUN 2013 - http://www.islam.gov.my/khutbah-online]

Friday, July 20, 2012

[74] Keistimewaan Ramadhan al-Mubarak

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang agung kerana mempunyai beberapa keistimewaan di antaranya :

Orang-orang yang berpuasa di bulan Ramadhan itu secara iman, dan dengan perasaan kerana perintah Allah semata-mata maka diampuni Allah SWT dosanya yang telah lalu sebagai mana hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud:
“Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi SAW berkata ia : “Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan keimanan dan dengan perhitungan (dengan ikhlas semata-mata mengharapkan keredhaan Allah) diampuni Tuhan segala dosanya yang terdahulu”.

Pada bulan Ramadhan itulah mula-mula turunnya al-Quran sebagai mana firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud :
“Adapun bulan Ramadhan itu padanya diturunkan al-Quran, akan jadi petunjuk bagi manusia dan jadi kenyataan dari petunjuk serta membezakan antara yang hak dan yang batil ”

Dalam bulan Ramadhan itu terbukalah pintu-pintu syurga, dan terkuncilah pintu-pintu neraka, bahkan syaitan dan iblis dibelenggu ketika itu. Sebagai mana hadis SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud :
“Dari Abu hurairah r.a bahawasnya Rasulullah SAW berkata: “Bila telah datang bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu syurga, dan terkuncilah pintu-pintu neraka, dan terbelenggulah syaitan-syaitan”.

Puasa bulan Ramadhan itu diistimewakan oleh Allah SWT, untuk Allah sendiri dan Dia sendiri pula yang akan menentukan ganjaran. Sebagai mana hadis SAW yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud:
“Dari Abu Hurairah r.a berkata ia: Telah bersabda Rasulullah SAW : “Tiap-tiap amalan anak Adam dipergandakan pahalanya antara sepuluh sampai 700 kali, telah berfirman Allah ‘Azza Wajalla, kecuali puasa, kerana seseungguhnya puasa itu untukku dan Akulah yang akan membalasnya, ditinggalkannya keinginan hawa nafsunya dan makanannya kerana Aku semata-mata”.

Di dalam bulan ramadhan berlaku Lailatul Qadar yang mempunyai kelebihan pahala amalan kebajikan mendapat ganjaran seperti beribadah seribu bulanAntara kelebihan yang utama ialah ia mengandakan pahala ibadah. Diawal bulan ramadhan adalah kerahmatan, dipertengahanya keampunan dan diakhirnya dijanjikan terlepas dari api neraka. Sebagai mana berfirman Allah SWT dalam surah al-Qadar ayat 1-5 yang bermaksud :
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar”

Orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan disediakan tempatnya di syurga suatu tempat yang istimewanya, pintunya bernama “Rayyan”, sebagai mana hadis SAW yang bermaksud:
“Dari Sahal bin Said r.a : “Sesungguhnya Nabi SAW bersabda : “Sesungguhnya di dalam syurga ada sebuah pintu yang dinamakan orang ar-rayyan yang akan memasukkannya pada hari kiamat orang-orang yang puasa dan tidak seorang juga akan memasukinya selain mereka”.

Dipetik dari http://muscom.iluvislam.com/?p=2115

Wednesday, March 21, 2012

[68] Senyum Itu Sedekah

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera


Dari Jabir bin Abdullah r.a katanya:”Rasulullah SAW bersabda “Tiap-tiap perkara yang makruf menjadi sedekah. Antara perkara yang makruf itu ialah hendaklah engkau (semasa) bertemu dengan saudaramu (sesama anak Adam) biarlah dengan muka yang manis dan (kalau ada yang meminta air) hendaklah engkau tuangkan timbamu ke dalam bekas air yang dibawanya.”   (HR Ahmad)

Makruf adalah segala perkara yang diketahui umum tentang kebaikannya sama ada dari segi syarak atau dari segi adat (yang tidak bercanggah dengan syarak). Manakala perkara yang mungkar pula adalah sebaliknya. Setiap mukmin hendaklah sentiasa bermuka manis dan berbudi bahasa tinggi semasa berhubung dengan orang lain kerana hal ini juga dianggap sebagai satu sedekah.  

Senyum itu mudah? Senyuman yang tulus itu sukar. Senyuman yang dusta juga bukan suatu yang mudah. Oleh itu senyum yang menjadi sedekah juga bukan semudah yang kita bayangkan. Sesungguhnya, "Senyum itu akan terasa berat dilakukan bagi jiwa yang belum dibiasakan dengan kebaikan…." (Muhammad Qutb) 

Admin JPIM

Wednesday, February 29, 2012

[62] Rosak atau Batal Iman

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Beberapa perkara yang  dilakukan/diamalkan umat Islam masa kini yang boleh menyebabkan rosak atau terbatal Iman.


Syirik:

Iaitu menyekutukan Allah dengan makhluk. Percaya atau mempercayai bahawa ada kuasa lain yang sama hebat atau lebih hebat dari Allah swt. Ia mungkin dilakukan dengan sengaja atau tidak disengajakan.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya). Dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya ia telah melakukan dosa yang besar”.  (an-Nisaa: 48)


Kufur:

[61] Sifat 20

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Sifat-sifat Allah yang wajib diketahui oleh orang-orang Islam yang terkandung di dalam al-Quran berjumlah 20 sifat. Termasuk juga sifat-sifat Mustahil yang wajib diketahui.

BIL : 1
SIFAT WAJIB : WUJUD
MAKNA : Ada
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu ada. Mustahil Allah itu tiada.

BIL : 2
SIFAT WAJIB :QIDAM
MAKNA : Sedia
SIFAT MUSTAHIL : Allah itu sedia ada. Mustahil didahului oleh Adam (tiada)

BIL : 3
SIFAT WAJIB : BAQA’
MAKNA : Kekal
SIFAT MUSTAHIL : Allah itu bersifat kekal. Mustahil ia dikatakan fana (binasa)

BIL : 4
SIFAT WAJIB : MUKHALAFATUHU LILHAWADIS
MAKNA : Tidak sama dengan yang baharu
SIFAT MUSTAHIL : Allah itu tidak mempunyai sifat-sifat yang baharu yakni dijadikan dan dihancurkan. Mustahil bersamaan dengan yang baharu.

BIL : 5
SIFAT WAJIB : QIYAMUHUU BINAFSIH
MAKNA : Berdiri dengan dirinya sendiri
SIFAT MUSTAHIL : Allah Taala itu bersendiri. Mustahil tidak berdiri dengan dirinya sendiri atau berdiri pada lainnya.

Monday, June 20, 2011

[P35] Tazkirah: Mentaati Allah swt.

Assalamualaikum.

Tazkirah Minggu Pengurusan Pelajar Baharu Jun 2011

Mentaati Allah swt.,


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada "Ulil-Amri" (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya (anNisa’: 59)


Maksud mentaati Allah:

Mentaati Allah s.w.t. ialah menurut segala perintah-Nya tanpa hujah, tanpa tangguh, tanpa ragu-ragu dan pada masa yang sama hatinya yakin sungguh-sungguh kepada ketuhanan Allah s.w.t yang memelihara, menjaga, melindungi, menguruskan segala sesuatu dengan cara yang paling baik. Mentaati perintah Allah s.w.t dengan memelihara sempadan syariat dinamakan taqwa, dan keyakinan hati terhadap ketuhanan Allah s.w.t yang memelihara serta mengatur, dinamakan iman.


Wednesday, May 4, 2011

[P26] Batasan Aurat Wanita Islam dengan Wanita Bukan Islam


Assalamualaikum.

Persoalan yang diajukan oleh pelajar/murid pendidikan guru berkaitan batasan aurat seorang wanita muslim terhadap wanita bukan muslim. Bagaimana cara yang ‘betul’ selari dengan kehendak syarak.

Ulama berselisih pendapat dalam pentafsiran surah anNur ayat 31, berkaitan aurat wanita Islam ketika berhadapan dengan wanita bukan Islam dalam 3 keadaan atau pendapat.

1.     Wajib menutup aurat sebagaimana berhadapan dengan lelaki ajnabi (yang boleh dinikahi), seperti keadaannya dalam solat.
2.     Diharuskan memperlihatkan bahagian yang biasa nampak dalam keadaan biasa seperti ketika berada dalam rumah (tanpa tudung dengan baju berlengan pendek dan kain atau seluar panjang).
3.     Sama hukumnya seperti antara sesama muslimah iaitu harus menampakkan seluruh anggota kecuali bahagian antara pusat hingga ke lutut.

Ada pendapat ulama yang  cenderung kepada pandangan yang dipertengahan, iaitu jika seorang muslimat berhadapan dengan wanita bukan Islam yang aman dari fitnah dan boleh dipercayai, maka harus berpakaian sebagaimana kebiasaannya di rumah, sebaliknya jika berhadapan dengan wanita bukan Islam yang boleh menimbulkan fitnah atau yang tidak dikenali latarbelakangnya, maka auratnya adalah seperti apabila berhadapan dengan lelaki yang boleh dinikahinya.

Negeri Kedah pernah mengeluarkan fatwa (yang tidak diwartakan dan tanpa tarikh http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/aurat-wanita-di-hadapan-wanita-bukan-islam-0) berkaitan permasalahan ini.

Terdapat dua pendapat berkaitan permasalahan ini : 

1) Harus bagi wanita bukan Islam melihat anggota wanita Islam yang terdedah pada kebiasaannya ketika menjalankan pekerjaan. Yang dikehendaki dengan anggota yang terdedah diwaktu menjalankan pekerjaan ialah kepala,tengkok/leher, lengan dan hujung betis.dan haram baginya melihat anggota-anggota yang lain dari yang tersebut.

2) Harus bagi wanita bukan Islam melihat aurat wanita kecuali anggota diantara pusat dan lutut memandangkan kepada mereka sama-sama wanita.

Pendapat pertama adalah muktamad, namun demikian memandangkan keadaan pergaulan wanita yang berlainan agama begitu meluas di sekolah-sekolah, di pusat-pusat pengajian tinggi,di asrama, di tempat bekerja dan lain-lain, maka pendapat kedua itu ada kesesuaian dengan keadaan.

Admin JPIM
 
Powered by Blogger