Thursday, May 16, 2013

[78] Selamat Hari Guru

Salam Satu Malaysia,
Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) selaku Urus Setia Pemilihan Tema Hari Guru 2013 telah menerima persetujuan dan pengesahan dari Pejabat YAB Menteri Pelajaran berhubung Tema Hari Guru 2013. Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan tema yang telah dipersetujui oleh  YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran adalah:


GURU MALAYSIA: 1ASPIRASI, 1AGENDA


HURAIAN TEMA HARI GURU 2013
 GURU MALAYSIA : 1ASPIRASI, 1AGENDA
HURAIAN 1ASPIRASI:
Semua Guru Malaysia mempunyai satu aspirasi untuk membangunkan sistem pendidikan berkualiti bertaraf dunia seperti yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Adalah menjadi tanggungjawab semua guru ke arah melahirkan murid yang mempunyai enam aspirasi iaitu berpengetahuan,kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional.

1ASPIRASI juga diterjemahkan kepada cita-cita murni PPPM 2013-2025 iaitu ke arah sistem pendidikan negara yang memastikan akses kepada kejayaan, kualiti standard antarabangsa yang tinggi, ekuiti untuk semua murid, memupukperpaduan dalam kalangan murid dan pelaksanaan berkecekapan tinggi.
HURAIAN 1AGENDA:
Semua Guru Malaysia berpegang kepada satu agenda iaitu memastikan kejayaan PPPM 2013-2025.  Guru perlu berpegang teguh kepada etika profesion keguruan yang mempunyai satu agenda atau tugas utama iaitu melahirkan murid seimbang berdasarkan Falsasah Pendidikan Negara.

Tuesday, January 22, 2013

[77] Maulidur Rasul 1434 H



Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.


12 Rabiul Awal setiap tahun adalah hari sambutan Maulidur Rasul yang menjadi salah satu hari kebesaran Islam yang disambut meriah di negara ini. Walaupun Nabi Muhammad SAW telah meninggalkan kita, namun kekasih Allah ini tetap berada di dalam sanubari dan hati umatnya yang beriman. Baginda SAW  telah membawa kepada kita risalah Allah dengan dua cara.

Pertama, menyampaikan perintah dan panduan Allah SWT melalui wahyu Qur’ani; Kedua, menghidupkan wahyu-wahyu Allah dengan sempurna melalui perbuatan, perkataan dan pengakuannya atau apa yang dinamakan sebagai sunnah nabawiyah.

Kemuliaan akhlak Rasulullah SAW sebagaimana yang dicerminkan di dalam al-Quran, wajib diambil tauladan secara mutlak dan di taati oleh manusia sepanjang kehidupan ini. Firman Allah SWT di dalam Surah at-Taghaabun, ayat 12:
Maksudnya: “Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasulullah; maka kalau kamu berpaling, maka sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah Allah) dengan jelas nyata.”

Antara agenda yang diberi keutamaan dalam misi Rasulullah SAW menyebarkan Islam ialah dengan memperkasakan akidah ummah. Umat Islam diikat dengan erat melalui konsep tauhid, kiblat yang satu, kitab yang satu, pemimpin yang satu. Namun dalam pada itu, Baginda juga sentiasa diterjah dengan berbagai ancaman musuh Islam yang didalangi oleh orang-orang Yahudi untuk mengkucar-kacirkan pegangan dan fahaman umat Islam. Mereka menggunakan pelbagai pendekatan, diantaranya menggunakan isu agama sebagai alat untuk menghancurkan umat Islam. Mereka menghasut sesetengah umat Islam yang lemah imannya dan hilang integriti untuk melanggari ajaran al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Mereka juga memperalatkan sebahagian daripada pemimpin yang beragama Islam yang dikaburi oleh keghairahan untuk mendapatkan kuasa.

Oleh itu, tidak menghairankan ada di kalangan umat Islam pada hari ini yang mengaku beriman dengan Allah dan Rasul-Nya, tetapi pada masa sama telah mentafsir Islam mengikut hawa nafsu. Mereka sanggup melakukan tindak-tanduk mengikut kemahuan sendiri dan akhirnya perbuatan tersebut kelihatan janggal, pelik di khalayak ramai. Besarnya pengaruh nafsu dan peranan syaitan dalam kehidupan ini terbukti apabila mereka tanpa segan silu mengutamakan kepentingan diri, mengutamakan kebendaan walaupun nyata bercanggah dengan al-Quran dan sunnah.

Bersempena dengan sambutan Maulidul Rasul, marilah sama sama kita menjana peningkatan dalam penghayatan dan ketaatan dalam melaksanakan ajaran yang di bawa oleh Rasulullah SAW. Marilah sama sama kita mempertahankan dengan segala upaya kemuliaan Rasulullah SAW dari sebarang penghinaan, memberikan penghormatan sewajarnya kepada Rasulullah SAW dalam tindak tanduk kita seharian dan mencontohi akhlak, keperibadian dan teladan yang ditunjukkan oleh Nabi SAW  dalam setiap tindakan.

Program Maulidur Rasul ini pada dasarnya adalah sebahagian daripada aktiviti dakwah. Ia bertujuan untuk mentarbiyah, membimbing dan memperingatkan umat Islam agar menghargai apa yang dikurniakan oleh Allah SWT. Salah satu pengajaran itu ialah memperingati perjuangan Nabi Muhammad SAW sebagai seorang pesuruh Allah yang paling berjaya menegakkan ajaran Allah, Rasul terakhir, tokoh teragong sepanjang abad di dunia dan akhirat kerana membawa perubahan besar kepada lanskap akidah seluruh juzuk hidup manusia di dunia. Malah hingga ke hari ini peribadi suci Rasulullah SAW masih dikagumi musuh-musuh Islam.  Marilah sama-sama kita menjadikan sunnah Rasulullah SAW sebagai amalan hidup dan mengelakkan diri dari perbuatan yang menyimpang dari sifat Rasulullah SAW yang sebenarnya.
(disunting dari http://www.islam.gov.my/khutbah-online)

Wednesday, September 12, 2012

[76] Kemerdekaan Malaysia ke 55: Janji Ditepati



Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Sesungguhnya, kemerdekaan atau kebebasan dari belenggu penjajahan dan cengkaman asing yang kita kecapi ini adalah satu nikmat kurniaan Allah SWT yang amat besar ertinya kepada kita semua.  Justeru, kita perlu mensyukuri nikmat kemerdekaan yang kita kecapi agar nikmat ini akan berkekalan dan kemakmuran negara akan sentiasa bertambah dengan pengisian-pengisian yang diredhai Allah.

Imam Al-Ghazali RA di dalam kitabnya Ihya Ulumuddin menggariskan bahawa bagi mensyukuri nikmat Allah itu perlulah ada 3 perkara berikut, iaitu:

 Pertama: Hendaklah mengiktiraf bahawa nikmat tersebut datangnya daripada Allah SWT walaupun pada zahirnya ia datang melalui pelbagai sebab dan sumber.

Kedua: Hendaklah tidak mensia-siakan nikmat tersebut dengan mengabaikannya.

Ketiga: Hendaklah menggunakan nikmat tersebut dengan cara yang diredhai oleh Allah.

Bagaimanakah kemerdekaan dapat di kekalkan di negara ini? Kebijaksanaan pemerintah di dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang berteraskan maqasid al-Syariah demi kepentingan rakyat adalah teras kepada kemakmuran negara. Secara ringkasnya Maqasid al-Syariah ialah melakukan kebaikan bertujuan untuk menjaga tata susila, kepentingan dan sistem hidup.  Dengan kata lain mengurus sesuatu dan menjaganya dengan apa cara yang boleh membawa kepada kebaikan dan merupakan matlamat yang ingin di capai dalam melaksanakan sesuatu, memberikan petunjuk yang jelas berhubung kaedah berfikir dan bertindak umat Islam terutama dalam kes-kes berkaitan dengan kemaslahatan ummah, iaitu, yang menyentuh secara langsung dalam soal kebajikan, kebaikan, manfaat dan faedah umat Islam.

Seorang ulama terkenal Fathi Uthman mengatakan di dalam kitabnya al-Fikr al-Qanuni al-Islami bahawa Siasah al-Syariah merupakan hal berkaitan dengan undang-undang ketatanegaraan dan pentadbiran yang merangkumi soal-soal kekuasaan pemerintah, khalifah, hak-hak individu dan sebagainya. Manakala menurut Imam Ghazali di dalam kitabnya' al-Mustashfa' bahawa lima perkara pokok yang perlu dipelihara dalam maksud syariah itu sendiri;  agama,  diri,  akal,  keturunan dan harta.

Para ulama Islam telah menggariskan lima kepentingan yang wajib dijaga oleh pemerintah yang tiada tolak ansur untuk mengabaikannya agar umat Islam mampu bertahan menghadapi segala cabaran. Kepentingan tersebut mengikut keutamaan ialah:-

Pertama: Menjaga Agama, Sebagai pemerintah maka menjadi kewajipan untuk meletakkan kepentingan agama ditempat yang teratas. Segala perkara yang merosakkan agama hendaklah dihindarkan. Penyelewengan akidah wajib dibanteras. Pemimpin yang menjaga agama akan menjadi seorang yang adil dan berintegriti, tidak akan membenarkan sesuatu berlaku yang akan merosakkan akhlak dan moral. Mereka  yang tidak beragama akan lemah akhlaknya dan hilang semangat patriotik dan jati dirinya, dan tidak mustahil akan menggadaikan kepentingan negaranya demi memenuhi tuntutan hawa nafsunya. Namun perlu diingat di dalam kita menjaga agama pelbagai cabaran yang perlu di atasi antaranya aliran pemikiran pluralisme, liberalisme, LGBT dan lain-lain lagi.

Kedua: Menjaga nyawa,   Islam mengharamkan penumpahan darah dengan jalan yang tidak benar. Apabila nyawa tidak terpelihara maka negara akan musnah, ketenteraman dan keamanan akan hilang. Hadith Rasulullah SAW yang bermaksud: Seseorang Islam itu ialah yang menyelamatkan kaum muslimin melalui lidah (bicara) dan tangannya (kuasa dan perlakuan), dan orang yang beriman pula ialah orang yang dipercayai oleh orang lain dalam menjamin nyawa dan harta benda mereka. (Riwayat al-Tirmizi)

Ketiga: Menjaga akal Akal wajib dipelihara dan dipupuk dengan nilai-nilai mulia dan ilmu. Semua unsur-unsur yang menjurus kepada kehilangan akal seperti arak, dadah wajib dibanteras dengan segera. Hanya generasi yang berakal yang mampu mempertahankan kemerdekaan negara.

Keempat: Menjaga maruah dan keturunan  Keturunan wajib dipelihara demi menjaga sistem sosial dalam masyarakat Islam. Apabila keturunan telah rosak dengan sebab menyalahi syariat dan tabie manusia seperti penzinaan, liwat, lesbian, gay, dwiseksual dan sebagainya maka struktur sosial akan menjadi kacau bilau dan akhirnya akan runtuh dengan sendirinya.  

Kelima: Menjaga harta, Dalam menjaga harta Islam telah mengariskan prinsipnya iaitu  al-adl wal ihsan. Pendekatan Islam amat menitik berat soal keadilan dengan mengharamkan segala bentuk penindasan, amalan riba, penipuan, rasuah, monopoli yang tidak seimbang, manipulasi pasaran dan segala bentuk penyelewengan atau perkara-perkara yang menzalimi dan merugikan pihak-pihak tertentu.

Bersempena dengan Sambutan Hari Kemerdekaan yang bertemakan JANJI DI TEPATI, adalah wajar bagi kita untuk mengenang kembali segala pengorbanan dan susah payah para pejuang negara yang telah berjasa kepada agama, bangsa dan negara. Kemerdekaan yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil cetusan pemikiran dan semangat juang yang tinggi daripada tokoh-tokoh politik, para cendikiawan dan para alim ulama. Hasilnya, kita semua dapat hidup dengan aman dan makmur di bumi Malaysia yang bertuah ini. Sesungguhnya perjuangan mereka adalah perjuangan yang sangat mulia di sisi Allah SWT.

Dinukilkan dari http://www.islam.gov.my/khutbah-online

Friday, August 10, 2012

[75] Pandalela Rinong

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Berkongsi kejayaan 'anak Sarawak' untuk menjadi iktibar dan ikutan semua. 'Usaha tangga kejayaan'. Tahniah buat Pandalela Rinong yang telah mendapat gangsa dalam acara terjun 10 meter platform Olimpik London 2012.

Pandalela Rinong anak Pamg berasal dari Bau, Sarawak.  Dilahirkan pada 2 Mac 1993.


Pandelela, 19, was in tears as she savored a landmark medal for Malaysia.
“I feel very proud and happy because I just won a medal for Malaysia. It’s really an honour. It’s a great, great thing for Malaysia,” Pandelela said.
“I feel very proud of Malaysia. I hope Malaysia is proud of me.
“Diving is not that popular (in Malaysia) like badminton. I hope I will be inspiring the youth (to take up diving).”

Friday, July 20, 2012

[74] Keistimewaan Ramadhan al-Mubarak

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang agung kerana mempunyai beberapa keistimewaan di antaranya :

Orang-orang yang berpuasa di bulan Ramadhan itu secara iman, dan dengan perasaan kerana perintah Allah semata-mata maka diampuni Allah SWT dosanya yang telah lalu sebagai mana hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud:
“Dari Abu Hurairah r.a dari Nabi SAW berkata ia : “Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan keimanan dan dengan perhitungan (dengan ikhlas semata-mata mengharapkan keredhaan Allah) diampuni Tuhan segala dosanya yang terdahulu”.

Pada bulan Ramadhan itulah mula-mula turunnya al-Quran sebagai mana firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud :
“Adapun bulan Ramadhan itu padanya diturunkan al-Quran, akan jadi petunjuk bagi manusia dan jadi kenyataan dari petunjuk serta membezakan antara yang hak dan yang batil ”

Dalam bulan Ramadhan itu terbukalah pintu-pintu syurga, dan terkuncilah pintu-pintu neraka, bahkan syaitan dan iblis dibelenggu ketika itu. Sebagai mana hadis SAW yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud :
“Dari Abu hurairah r.a bahawasnya Rasulullah SAW berkata: “Bila telah datang bulan Ramadhan, terbukalah pintu-pintu syurga, dan terkuncilah pintu-pintu neraka, dan terbelenggulah syaitan-syaitan”.

Puasa bulan Ramadhan itu diistimewakan oleh Allah SWT, untuk Allah sendiri dan Dia sendiri pula yang akan menentukan ganjaran. Sebagai mana hadis SAW yang diriwayatkan oleh Muslim yang bermaksud:
“Dari Abu Hurairah r.a berkata ia: Telah bersabda Rasulullah SAW : “Tiap-tiap amalan anak Adam dipergandakan pahalanya antara sepuluh sampai 700 kali, telah berfirman Allah ‘Azza Wajalla, kecuali puasa, kerana seseungguhnya puasa itu untukku dan Akulah yang akan membalasnya, ditinggalkannya keinginan hawa nafsunya dan makanannya kerana Aku semata-mata”.

Di dalam bulan ramadhan berlaku Lailatul Qadar yang mempunyai kelebihan pahala amalan kebajikan mendapat ganjaran seperti beribadah seribu bulanAntara kelebihan yang utama ialah ia mengandakan pahala ibadah. Diawal bulan ramadhan adalah kerahmatan, dipertengahanya keampunan dan diakhirnya dijanjikan terlepas dari api neraka. Sebagai mana berfirman Allah SWT dalam surah al-Qadar ayat 1-5 yang bermaksud :
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar”

Orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan disediakan tempatnya di syurga suatu tempat yang istimewanya, pintunya bernama “Rayyan”, sebagai mana hadis SAW yang bermaksud:
“Dari Sahal bin Said r.a : “Sesungguhnya Nabi SAW bersabda : “Sesungguhnya di dalam syurga ada sebuah pintu yang dinamakan orang ar-rayyan yang akan memasukkannya pada hari kiamat orang-orang yang puasa dan tidak seorang juga akan memasukinya selain mereka”.

Dipetik dari http://muscom.iluvislam.com/?p=2115

[73] Ramadhan

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.


Umat Islam seluruh negara akan mula berpuasa pada 21 Julai 2012 (Sabtu) seperti mana yang telah diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-raja pada 19 Julai, 8.00 malam.

Selamat menjalani ibadah puasa, semoga amalan puasa muslimin sekalian diterima sebagai ibadah yang makbul dan mabrur di sisi Allah Ta'ala.

Admin JPIM

Thursday, July 19, 2012

[72] Pertandingan Inovasi Pensyarah

Assalamualaikum.
Salam Sejahtera.

18 Julai 2012 Jabatan PIPK IPGKR telah menganjurkan pertandingan inovasi khusus buat pensyarah bagi memlilih wakil IPGKR ke pertandingan peringkat kebangsaan di Melaka. Pertandingan diadakan di Dewan Kenanga bermula jam 0900. Tahniah buat Tn. Hj. Kamarul Ariffin Din kerana telah memenangi pertandingan tersebut. Inovasi beliau khas buat murid LINUS tegar, cara mudah mengenal huruf/abjad melalui aktiviti melekatkan huruf-huruf dari keratan akhbar dalam bentuk bahan maujud di sekeliling mereka seperti rumah, kereta dan sebagainya.

Foto-foto pembentangan semasa pertandingan:
 
Powered by Blogger