Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang
indah pada setiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan solat), dan
makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah
tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas. [al-A’raf:31]
Tuesday, July 23, 2013
[82] Ramadhan al-Mubarak
Ramadhan bulan yang penuh keberkatan ini merupakan masa gembira kepada
orang yang beriman yang ditunggu kehadirannya
kerana setiap saat ada ganjaran pahala yang dijanjikan oleh Allah SWT. Setiap
hari dalam
bulan Ramadhan adalah hari penuh barakah dan peluang untuk menyucikan diri dan
mendapat pahala daripada Allah SWT. Rasulullah SAW sendiri merasa gembira
setiap kali kedatangan bulan ini dan kegembiraannya di sampaikan pula kepada
para sahabat Baginda.
Hadith Rasulullah SAW yang di riwayatkan oleh Imam Ahmad
bermaksud: Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang
penuh keberkatan. Allah SWT telah memfardukan ke atas kamu puasanya. Di dalam
bulan Ramadhan dibuka segala pintu syurga dan di kunci segala pintu neraka dan
diikat syaitan-syaitan. Padanya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu
bulan. Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebaikan malam itu maka
sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebajikan.
Justeru bulan yang mulia ini dilipat ganda ganjaran
pahala khususnya bagi membersihkan segala
dosa serta mengembalikan fitrah akhlak manusia.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila tiba malam pertama bulan Ramadhan
seruan (dari langit) menyeru : Wahai orang yang ini berbuat kebajikan
teruskanlah (mara berbuat kebajikan), wahai orang yang ingin berbuat kejahatan
hentikanlah, bagi Allah melepaskan ramai orang dari neraka. Seruan itu pada
tiap-tiap malam.”(Riwayat al-Khamsah).
Bagi
menghidupkan lagi bulan Ramadhan yang mulia ini, maka kita hendaklah menggiatkan
ibadah terutamanya dengan mengisi ruang-ruang yang ada
seperti solat tarawih, solat sunat witir, bertadarus, bersedekah, membaca
al-Quran, beriktikaf, menuntut ilmu dan sebagainya bagi meningkatkan
keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT
di dalam usaha mencari keredhaan-Nya. Ingatlah bahawa setiap amalan samada wajib dan sunat di sepanjang bulan ini
merupakan latih tubi insan kepada pembersihan hati, mendisiplin anggota badan,
mengukuhkan akhlak dan mencegah penyakit serta diberi ganjaran berlipat ganda
oleh Allah SWT.
Maksud sabda Rasulullah SAW:
“Setiap amalan anak-anak
Adam itu dilipat-gandakan, satu kebajikan dilipat-gandakan dengan 10 sehingga
700 kali ganda. Allah berfirman: Kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untuk
–Ku. Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka
dan kegembiraan ketika ia menjumpai tuhannya. Dan bau mulut orang yang berpuasa
di hadapan Allah lebih harum dari wangian misk. (Riwayat al-Bukhari).
Yakinlah bahawa bagi menghidupkan bulan Ramadhan dengan
segala ibadah dan memperolehi ganjaran pahala yang ditawarkan oleh Allah SWT, maka jiwa kita hendaklah diasuh dan dididik untuk
mendekati dengan Allah SWT serta bermujahadah melawan hawa nafsu. Pada bulan
Ramadhan tugas untuk mengawal hawa nafsu dipermudahkan oleh Allah SWT melalui
latihan-latihan dan keistimewaan yang di sediakan secara khusus pada bulan
Ramadhan dengan melakukan ibadah kepada Allah SWT.