Menurut sebahagian ulama, peristiwa
Isra’ Mikraj ini berlaku pada malam 27 Rejab setahun sebelum Rasulullah SAW
berhijrah ke Madinah. Peristiwa ini adalah perjalanan suci Rasulullah SAW bagi
memenuhi jemputan Allah SWT. Peristiwa Isra’-Mikraj ini juga sebenarnya membuka
cerita kepada kita tentang hakikat alam semesta ini. Bagaimana kedudukannya,
susunan langit-langit yang tujuh lapis/tingkat namun yang lebih penting dalam
Isra’ Mikraj adalah petunjuk, pedoman dan panduan untuk kita umat di akhir
zaman. Firman Allah SWT dalam
surah al-Israk, ayat 1 yang bermaksud:
“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya
pada malam hari dari Masjidil haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya,
untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha
Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
Bagaimana pun sebelum berlaku Isra’
Mikraj, Rasulullah SAW menjalani pembedahan dada yang dilakukan oleh Malaikat
Jibril untuk membersih hati daripada
ketulan hitam bernama ’alaqah iaitu tempat syaitan membisikkan
was-wasnya dan dimasukkan hikmat, ilmu, dan iman. Selepas itu Allah SWT
mengatur program kerohanian untuk Rasulullah SAW iaitu program Isra’ Mikraj
mengadap Allah SWT dalam tempoh satu malam sahaja. Peristiwa ini menjadi bukti
kekuasaan Allah SWT ke atas hamba-Nya dalam membina dan memantapkan pegangan
akidah.
Perjalanan suci Rasulullah SAW ini
melibatkan beberapa perkara luar biasa iaitu perjalanan dari Masjidil Haram,
Mekah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis Palestin, Rasulullah SAW menjadi imam solat kepada
Rasul-rasul sedangkan mereka itu telah lama meninggal dunia, dan mengadap Allah
SWT di Sidratul Muntaha untuk menerima perintah solat secara berhadapan terus
dengan Allah SWT.
Perjalanan yang melibatkan dua masjid
tertua di dunia dan paling suci dalam Islam menjadi petanda betapa hubungan
akrab antara Masjidil Haram dengan Masjidil Aqsa berkaitan pertalian kiblat dan
pusat gerakan Rasul-rasul terdahulu menegakkan syiar Islam. Kemudian Rasulullah
SAW menjadi imam kepada beberapa Nabi dalam suasana alam kerohanian itu dan
bersalaman satu sama lain menunjukkan bahawa para Nabi semuanya akur terhadap
kedudukan Baginda sebagai Rasul terakhir yang menyempurnakan syariat agama Allah
SWT.
Pertemuan Rasulullah SAW dengan Allah
SWT di Sidratul Muntaha dalam suasana alam kerohanian itu tanpa ditemani
Malaikat Jibril, adalah pertemuan kemuncak sebagai penghargaan dan penghormatan
Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang menyempurnakan Islam sebagai agama
global untuk manusia. Inilah
bukti kekuasan dan kebesaran Allah SWT yang mampu melakukan apa sahaja yang
diinginkan-Nya.
Salah satu pengajaran dalam peristiwa
Isra’ Mikraj ialah persediaan teliti Rasulullah SAW dalam penyucian hati atau
kalbu. Proses penyucian hati ini akan mengukuhkan kepercayaan kita bahawa dalam
pertemuan dengan Allah SWT, seseorang dituntut membersihkan jiwa dan raganya
daripada pelbagai sifat keji. Dengan jiwa yang bersih, penuh keimanan dan
ketakwaan, maka akan beroleh kemudahan untuk berkomunikasi secara khusyuk
dengan Allah SWT dan membawa hasil yang menguntungkan.
Kebersihan dan penyucian hati amat
penting dalam membentuk keperibadian manusia. Pakaian yang bersih apabila kita
pakai akan menjadi kotor. Semakin lama kita pakai, maka semakin kotor pakaian
kita. Cuba bayangkan bagaimana rupa dan baunya jika pakaian itu tidak dibasuh.
Demikian juga dengan tubuh badan kita. Semakin hari semakin kotor, berbau busuk
dan terdedah kepada pelbagai penyakit jika kita tidak mandi dan membersihkannya
dengan sempurna.
Begitu jugalah hati manusia. Setiap
manusia tanpa mengira kedudukan pangkat dan keturunan ketika dilahirkan adalah
dalam keadaan bersih. Bagaimana pun, manusia ini mempunyai sifat kelemahannya.
Manusia menginginkan pangkat, kedudukan, kemuliaan, penghormatan, kekayaan dan
kesenangan. Dalam keadaan sedar memenuhi keperluan hidup itu, maka manusia
kadangkala atau yang berat lagi bertabiat pula melakukan dosa kecil atau besar.
Dosa ini akan menjadi titik hitam dalam hati. Semakin banyak kesalahan maka
semakin tebal titik hitam dalam hati seseorang. Kelemahan dan kegagalan manusia
menyelenggara dan meningkatkan prestasi penyucian hati telah menjerumuskan individu
atau keluarga dalam perbuatan yang bercanggah dengan hukum Allah SWT dan hak
asasi manusia.
Antara tanda- tanda semakin tebal titik
hitam dalam hati manusia ialah, Pertama: Malas melakukan ketaatan dan
amal kebaikan. Kedua: Tidak tersentuh hatinya apabila mendengar ayat-
ayat al-Quran. Ketiga: Tidak tersentuh dengan perkara yang terjadi
seperti berlakunya peristiwa yang dapat memberikan pelajaran sebagai contoh kematian,
sakit, bencana. Keempat: Berlebihan mencintai dunia serta melupakan
akhirat. Kelima: Berkawan dengan orang yang melakukan maksiat. Keenam:
Kemaksiatan yang berterusan. Ketujuh: Meremehkan dosa kecil.
Dan kelapan: Tidak peduli sumber makanan.
Persoalan besar timbul ialah bagaimana
cara kita membaiki, menyelenggara dan meningkatkan prestasi hati kita supaya ianya
terus selari dengan akidah, akhlak dan syariat Islam?. Mimbar ingin menyatakan
bahawa pada masa ini umat Islam terdedah
kepada pelbagai bentuk cabaran yang menguji kekuatan akidah umat Islam. Pelbagai
fahaman, ideologi moden seperti kapitalisme, materialisme, fahaman liberalisme,
pluralisme dan komunisme serta unsur-unsur negatif yang mempengaruhi umat Islam
telah melanda dengan mudahnya. Kita juga digemparkan dengan isu murtad dan
cubaan memurtadkan umat Islam. Kita dihimpit dengan budaya songsang seperti
black metal, budaya punk, gejala gay dan seks bebas. Gejala ini berlaku
disebabkan oleh beberapa perkara antaranya kepincangan keimanan dan kecemaran
hati umat Islam yang di gelapkan oleh perbuatan mereka sendiri.
Ketahuilah hati kita adalah pusat
kesedaran, pusat penggerak setiap gerak geri kaki tangan, mulut, mata, fikiran
dan pancaindera kita. Alangkah indahnya pergaulan antara manusia dalam
masyarakat apabila manusia yang hidup dalam masyarakat mempunyai hati yang
putih bersih kerana dapat menjamin masyarakat hidup dengan aman damai.
Inilah masanya umat Islam mesti sedar
dan meletakkan kepentingan Islam di dalam hatinya melebihi segala kepentingan
yang lain. Pertahankanlah kesucian dan kedaulatan agama Islam sebaik yang
mungkin dan bertindaklah berdasarkan kebijaksanaan dan keimanan. Janganlah
disebabkan tindakan dan perbuatan kita yang hanya menurut emosi, kesucian agama
Islam boleh tergadai dan tergugat.
Walaupun dalam keadaan sibuk mana sekalipun
dengan urusan dunia, sediakanlah dalam masa-masa tertentu untuk menginsafi,
bertaubat dan meminta ampun kepada Allah SWT. Sediakan waktu-waktu tertentu
untuk mengingati Allah SWT, memuji dan membesarkan Allah SWT, mensucikan Allah
SWT agar hati dan jiwa menjadi kembali bersih. Marilah kita melipatgandakan
penyucian diri dan beribadahlah menyembah Allah SWT dengan penuh berkualiti
dalam menunaikan solat, berzakat, menunaikan puasa, haji, melaksanakan ibadah
sunat yang lain serta sentiasa bertaubat kepada Allah SWT.
Sekiranya peristiwa dan kebenaran dalam
Isra’ Mikraj ini ditauladani dan dipelajari serta dihayati sebaik mungkin, insyaallah
kita mampu mengelakkan diri daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan dan
kemungkaran serta terjerumus dengan gaya hidup berdosa. Sejarah ataupun
peristiwa yang telah berlaku dimasa lalu mesti dijadikan cerminan dan panduan
untuk masa hadapan. Hidup ini umpama kita memandu kenderaan, kita memerlukan
cermin untuk kita melihat ke belakang sebagai panduan bagi kita untuk memandu
ke hadapan. Inilah kepentingan sejarah dan peristiwa yang telah berlaku.
Bayangkanlah, apakah akibatnya jika kita memandu kenderaan tanpa menggunakan
cermin untuk melihat ke belakang?. Sudah pasti kita akan berhadapan dengan
kemalangan mahupun tragedi yang buruk.
Maka, jadikanlah pengajaran di sebalik peristiwa
yang telah berlaku terutamanya sejarah dalam negara kita mahupun sejarah Islam
untuk meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Isra’ dan Mikraj merupakan satu ujian dalam proses pemisahan
antara orang yang benar-benar beriman atau mereka yang tipis imannya dan yang
kufur ingkar terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya. Firman Allah SWT di dalam surah al-Ankabuut ayat 45
bermaksud:
“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan
kepadamu dari Al-Qur'an, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya
solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya
mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah
mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”