Thursday, May 16, 2013

[80] SELAMAT HARI GURU


SELAMAT HARI GURU KEPADA SEMUA WARGA PENDIDIK/PELAJAR IPG KAMPUS RAJANG dari kami di JPIM IPGK Rajang.

SAJAK “GURU O GURU” – USMAN AWANG (1979)

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa. 

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979
[79]  Guru Pemangkin Perpaduan

Dua aspirasi jadi inspirasi ke arah sistem pendidikan bertaraf dunia

Seremban: Sempena sambutan Hari Guru hari ini, golongan pendidik diminta terus berfungsi sebagai pemangkin utama perpaduan kaum di negara ini menerusi aktiviti dalam dan luar kelas.

Guru juga perlu meneruskan usaha murni menyemai persefahaman dan mempromosikan pergaulan sihat dalam kalangan pelajar selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tahun lalu. 


Perkukuh perpaduan 

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, berkata tugas guru secara tidak langsung menjadi pemangkin utama ke arah pengukuhan perpaduan kaum kerana generasi muda yang dididik hari ini adalah pewaris negara pada masa depan.

“Kebetulan ketika ini timbul sedikit isu perkauman, jadi kita mengambil kesempatan ini untuk menekankan supaya guru berkongsi kefahaman mengenai PPPM.

“Apabila guru faham mengenai agenda yang membabitkan aspirasi sistem pendidikan dan aspirasi murid, mereka akan komited melaksanakannya.
“Hasilnya nanti, kita akan melahirkan murid yang cemerlang dalam semua aspek, termasuk akademik dan nilai murni dalam kehidupan, termasuk menerima perbezaan kaum,” katanya pada sidang media mengenai sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan yang akan disambut di sini, hari ini. 

Beliau berkata, agenda PPPM 2013-2025 menjadi asas tema sambutan tahun ini iaitu ‘Guru Malaysia: 1Aspirasi, 1Agenda’.


Dua aspirasi

Katanya, Guru Malaysia merujuk kepada semua guru di negara ini termasuk guru sekolah swasta dan sekolah agama serta tidak terhad kepada guru di bawah Kementerian Pelajaran.

Katanya, dua aspirasi dimaksudkan, iaitu aspirasi ke arah menjadikan sistem pendidikan negara bertaraf dunia yang memastikan akses kepada semua murid, kualiti antarabangsa, ekuiti atau kesaksamaan untuk semua murid, memupuk perpaduan dan pelaksanaan kecekapan tinggi.

Aspirasi murid pula bermakna guru bertanggungjawab melahirkan murid yang berpengetahuan, mempunyai kemahiran berfikir, memimpin, kemahiran dwibahasa, kerohanian tinggi, beretika serta mempunyai identiti nasional.

Abd Ghafar berkata, 1Agenda pula bermakna semua guru berpegang pada satu agenda, iaitu memastikan kejayaan PPPM, sekali gus melahirkan murid seimbang berdasarkan Falsafah Pendidikan Negara.

Beliau berkata, pelbagai sambutan dirancang bagi sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan ke-42 tahun ini dengan acara kemuncak diadakan di Stadium Tertutup Nilai dekat sini, malam ini.

Lebih 2,200 guru dari seluruh negara dijangka menghadiri majlis berkenaan.

Katanya, pada sambutan kali ini, Kementerian Pelajaran akan memberi pengiktirafan kepada lima guru istimewa dinamakan anugerah Ikon Guru yang baru diperkenalkan tahun ini.

Katanya, anugerah itu akan diberi kepada lima guru yang berjaya menaikkan imej kementerian serta negara dalam pelbagai bidang termasuk sukan, kesenian, pelajaran, kokurikulum, kepemimpinan serta kesukarelawanan.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Gurupemangkinperpaduan/Article/
[78] Selamat Hari Guru

Salam Satu Malaysia,
Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) selaku Urus Setia Pemilihan Tema Hari Guru 2013 telah menerima persetujuan dan pengesahan dari Pejabat YAB Menteri Pelajaran berhubung Tema Hari Guru 2013. Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan tema yang telah dipersetujui oleh  YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran adalah:


GURU MALAYSIA: 1ASPIRASI, 1AGENDA


HURAIAN TEMA HARI GURU 2013
 GURU MALAYSIA : 1ASPIRASI, 1AGENDA
HURAIAN 1ASPIRASI:
Semua Guru Malaysia mempunyai satu aspirasi untuk membangunkan sistem pendidikan berkualiti bertaraf dunia seperti yang dihasratkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Adalah menjadi tanggungjawab semua guru ke arah melahirkan murid yang mempunyai enam aspirasi iaitu berpengetahuan,kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, beretika dan kerohanian serta beridentiti nasional.

1ASPIRASI juga diterjemahkan kepada cita-cita murni PPPM 2013-2025 iaitu ke arah sistem pendidikan negara yang memastikan akses kepada kejayaan, kualiti standard antarabangsa yang tinggi, ekuiti untuk semua murid, memupukperpaduan dalam kalangan murid dan pelaksanaan berkecekapan tinggi.
HURAIAN 1AGENDA:
Semua Guru Malaysia berpegang kepada satu agenda iaitu memastikan kejayaan PPPM 2013-2025.  Guru perlu berpegang teguh kepada etika profesion keguruan yang mempunyai satu agenda atau tugas utama iaitu melahirkan murid seimbang berdasarkan Falsasah Pendidikan Negara.
 
Powered by Blogger